Wan Amirzafran Bersyukur...


KUALA TERENGGANU: Biarpun terpaksa menjadi 'penonton' susulan kecederaan, tonggak pertahanan muda Terengganu FC (TFC), Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris lega apabila khidmatnya masih diperlukan skuad itu musim ini.

Malah, lebih menggembirakan bekas pemain Harimau Muda itu apabila barisan kejurulatihan TFC tetap memberi kepercayaan kepadanya walaupun terpaksa berehat sehingga April depan.

Bagaimanapun, pemain tinggi lampai itu tetap tidak mahu dilabel sebagai 'anak emas' TFC, sebaliknya menyatakan itu adalah rezeki selepas bertungkus-lumus membantu pasukan musim lalu.

"Ketika ada pemain lain bergelut mencari tempat dalam Liga Malaysia (Liga M), saya bersyukur dan berterima kasih kepada PBSNT (Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu) kerana masih memerlukan khidmat saya.

"Pemilihan ini mungkin disebabkan prestasi saya musim lalu walaupun pada awalnya tidak menduga akan dikekalkan kerana terpaksa bercuti panjang.

"Selepas pulih sepenuhnya nanti saya akan membalas kepercayaan itu untuk membantu pasukan, biarpun terpaksa bersaing dengan beberapa pemain lain di posisi benteng tengah," kata Amirzafran kepada Sukan NSTP.

Pada September lalu, Amirzafran terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada TFC selepas dilanda kederaan lutut serius, ketika menentang FELDA United pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka Pahang.

Kecederaan pada minit ketujuh itu memaksa bekas pemain T-Team itu diusung keluar sebelum menerima rawatan lanjut di pusat perubatan di Subang, Selangor. - Berita Harian