Aiman tolak debat sebab calon BN enggan hadir – Syed Saddiq

Calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali menolak untuk menyertai debat anjuran Bersih disebabkan calon BN Zakaria Hanafi enggan menghadirkan dirinya.

Hal ini menurut Ketua Pemuda PH Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berkata sesuatu perdebatan pilihan raya hanya bertukar menjadi sekadar ucapan jika calon utama tidak hadir.

“Sebab saya ingat pada peringkat awal, saya dimaklumkan calon Umno tidak ingin debat, atau tarik diri, jadi pada peringkat tersebut ada perbincangan berkenaan jika terdapat keperluan (ikut terlibat), saya rasa dalam bab ini, kami akan lihat apa yang akan jadi,” jelasnya.

Syed Saddiq berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda Pakatan Harapan di Semenyih malam ini.

“Saya rasa dalam bab Aiman ini dari peringkat awal lagi, kurang bercakap dan banyak berkhidmat, dan dia dikenali sebagai individu kurang bercakap lebih berkhidmat.

“Kalau kita tengok track record beliau di sini. Dia banyak bantu NGO belia khususnya. Saya rasa itu merupakan kekuatan beliau,” katanya.

Ada orang sebelah jawab

Pemberita kemudian bertanya ketua pemuda Bersatu itu, menyebut Aiman kadangkala tidak menjawab soalan dengan sewajarnya ketika didekati media dan ada “orang sebelah” yang menjawab bagi pihak calon PH itu.

Syed Saddiq yang juga seorang pembahas merumuskan Aiman patut dinilai berdasarkan tindakan dan cara beliau berhubungan dengan masyarakat setempat.

“Cara dia turun padang, bagaimana dia berinteraksi dengan masyarakat, tua atau muda,” katanya lagi.

Pada 18 Februari lalu, Zakaria mengesahkan dia tidak akan menyertai program debat yang akan dianjurkan Bersih, 25 Februari ini.

Dengan penolakan calon PH untuk menyertai debat tersebut, maka hanya calon PSM Nik Aziz Afiq Abdul sebagai calon tunggal yang bersedia menyertainya.

Calon bebas Kuan Chee Heng pula belum memberikan jawapannya.

Bersih dalam suatu kenyataan semalam menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan calon PH dan BN menolak debat calon yang dicadangkan gabungan badan proreformasi pilihan raya itu.

Calon-calon, kata pengerusinya Thomas Fann, sepatutnya menggunakan pentas debat calon untuk menjelaskan perancangan dan visi mereka untuk kawasan parlimen itu.



Sumber: cempedakcheese.com