KUALA TERENGGANU: Selepas gagal mencatat sebarang kemenangan pada tiga aksi terdahulu, ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim tidak rela berputih mata lagi.
Jurulatih yang pernah membimbing kelab Persipura Jayapura dalam Liga Indonesia itu menuntut anak buahnya memanfaatkan peluang sebaik mungkin bertemu Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Jumaat ini dengan noktah kemenangan.
Selain itu, Irfan turut mengingatkan anak buahnya supaya memperagakan aksi sama ketika bertemu Johor Darul Ta`zim (JDT) Jumaat lalu walaupun gagal mencatat kemenangan dalam pertemuan itu.
“Saya percaya kemenangan pasti tiba buat pasukan kami, hanya tunggu masa dan jika mereka beraksi sebagaimana bertemu JDT dengan disiplin yang tinggi, saya beranggapan tidak ada halangan buat pasukan mengutip mata bertemu dengan skuad Kuala Lumpur Jumaat ini.
“Ini kerana bagi kami beraksi di tempat lawan pun aksi mereka lebih kurang sama, tapi yang penting pemain perlu beraksi sehingga minit terakhir perlawanan dan tidak cepat puas hati serta jangan putus asa jika ketinggalan,” kata Irfan.
Pada tiga aksi terdahulu, skuad Penyu itu seri 1-1 bertemu PKNS dan tewas 0-3 kepada Pahang dan seri 2-2 bertemu JDT.
Bagaimanapun, Irfan yang juga pakar taktikal tanpa berselindung mengakui bahagian tengah dan penyerang pasukannya harus diperkemaskan lagi menjelang pertemuan itu.
“Ada sedikit longgar di bahagian tengah, saya lihat pemain terlalu memberi banyak ruang kepada pemain lawan dalam aksi terdahulu terutama ketika bertemu JDT dan Pahang.
“Situasi ini harus diperbaiki kerana kita ingin mencipta kemenangan pertama dan berharap semua pemain yang diturunkan mampu memikul tugas itu dengan berkesan selain barisan penyerang juga perlu bijak menghidu peluang selain pertahanan tidak alpa,” katanya. - Berita Harian