Jangan Cemas - Irfan Bakti


KUANTAN: Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim tidak panik biarpun skuadnya sekadar mengutip satu mata daripada dua perlawanan Liga Super setakat ini.

Beliau berkata, kekalahan 0-3 kepada Pahang malam tadi, juga tidak menggambarkan prestasi sebenar skuad Penyu yang juga naib juara Piala Malaysia musim lalu.

“Perjalanan Liga Super masih lagi jauh kerana baru saja mengharungi dua perlawanan tetapi kelemahan yang dipersembahkan akan diperbaiki sebagai persediaan pada perlawanan akan datang.

“Tapi saya akui semua pemain perlu bangkit pada perlawanan ketiga bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di laman sendiri selepas ini.

“Bagi saya, kami tewas kepada pasukan yang terbaik dalam saingan liga dan kita berusaha untuk memberi tekanan tetapi gagal menyekat asakan,” katanya.

Irfan Bakti berkata, aksi bertahan yang dipersembahkan anak buahnya terutama pada separuh masa pertama ternyata memakan diri.

“Pemain bermain terlampau bertahan yang menyebabkan saya melakukan perubahan pada babak kedua tetapi kami gagal untuk mendapatkan jaringan. “Saya akui Dickson Nwakaeme memainkan peranan utama buat skuad Tok Gajah terutama ketajaman di bahagian serangan.

“Pada masa sama, prestasi kurang mantap yang dipersembahkan Tchetche Kipre antara faktor biarpun dia memiliki dua peluang merobek gawang lawan,” katanya. - Harian Metro