Jangan cuba gagalkan Anwar jadi PM – Abdullah Sani

SHAH ALAM – Setiap kali timbul isu membabitkan apakah benar wujud cubaan untuk menggagalkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menteri, pastinya Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid akan menjadi tumpuan dan sekali lagi beliau tanpa berselindung memberi amaran kepada pihak berkenaan.

Abdullah Sani yang merupakan penyokong setia Anwar berkata, jika benar usaha sedemikian wujud, pihak yang merancangkannya akan ‘berlaga’ dengannya dan beliau tidak akan berdiam diri, sebaliknya memilih langkah menyerang mereka kerana persetujuan sudah dicapai dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu Presiden PKR tersebut adalah Perdana Menteri kelapan.

Mengakui beliau sedang berwaspada dengan perkembangan semasa politik tanah air khususnya melibatkan isu Anwar, Ahli Parlimen Kapar itu menjelaskan, meskipun tumpuannya ketika ini adalah kepada soal ekonomi khususnya kos sara hidup rakyat, tetapi sebarang usaha membelakangkan perjanjian tidak boleh dibenar serta di­terima sama sekali.

“Memang saya tidak pernah undur walaupun seinci. Saya kekal dan berprinsip, saya masih lagi berpegang kepada prinsip itu, jiwa saya tidak boleh nak disembunyikan. Jika ada yang cuba hendak mengkhianati perjanjian, saya orang pertama yang akan serang mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Banyak pihak melihat bahawa keputusan Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima kemasukan bekas-bekas wa­kil rakyat UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan tindakannya melebarkan sayap parti ke Sabah adalah cubaan untuk menguatkan pengaruhnya serta menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.

Malah, bekas Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman, turut menjelaskan yang beliau tidak yakin Dr. Mahathir akan memberi laluan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri berdasarkan suhu politik semasa yang menyaksikan beberapa gerakan dibuat sejak akhir-akhir ini.

Dalam pada itu, Abdullah Sani tetap yakin proses peralihan kuasa daripada Dr. Mahathir kepada Anwar akan berjalan dengan baik dan melabelkan pihak yang tidak se­nang dengan proses tersebut sebagai ‘langau-langau’ politik.

Kepada soalan apakah beliau percaya ‘langau’ itu sendiri adalah sebahagiannya mereka dalam PKR, Abdullah Sani memilih jawapan berkias tetapi menegaskan ‘serangga’ tersebut boleh dihapuskan dengan penyapu atau semburan beracun.



Sumber: cempedakcheese.com