KUALA TERENGGANU: Penyerang Terengganu FC (TFC) Malik Mat Ariff mahu mengetepikan seketika pertalian persaudaraan dengan skuad negeri kelahirannya, Pahang, sebaliknya bertekad memperagakan aksi terbaik bertemu skuad Tok Gajah di Stadium Darul Makmur, Kuantan Sabtu ini.
Selain itu, pemain yang menjadi penyelamat maruah skuad Penyu selepas menjaringkan gol penyamaan ketika seri 1-1 dengan PKNS FC Jumaat lalu juga berazam mahu meledak gol dalam perlawanan kedua Liga Super itu.
"Saya yakin dengan kemampuan rakan sepasukan yang sentiasa bekerja keras, bagi saya pasukan kami mampu melakukan yang terbaik untuk mengutip mata pada aksi kedua nanti,” kata Malik ketika pada Majlis Pelancaran Akademi Peteh Kids di sini semalam
"Walaupun bertemu dengan pasukan negeri kelahiran, saya mahu melupakan seketika pertalian persaudaraan, sebaliknya bertekad mahu buru gol dalam misi mengutip tiga mata walaupun bermain di tempat lawan."
Akademi Peteh Kids ditubuhkan dalam usaha mencungkil bakat baharu dalam kalangan pemain se awal usia tujuh tahun bagi menggalas cabaran skuad negeri suatu hari nanti.
Turut hadir pada majlis itu ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim dan beberapa pemain skuad TFC termasuk Igor Zonjic, Nasrullah Hanif Johan, Ashari Samsudin, Ahmad Syamim Yahya dan Adib Aizuddin Abdul Latif.
Mengulas lanjut, Malik yang digelar 'lipas kudung' tanpa berselindung turut menyimpan impian untuk memburu anugerah Kasut Emas sebagaimana yang dimenanginya pada tahun 2017 selepas meledak 18 gol ketika menyarung jersi Kuantan FA.
"Bonus kepada saya jika dapat mengulangi kejayaan tahun 2017. Walaupun muncul penjaring terbanyak kategori pemain tempatan, tapi impian lebih besar adalah untuk membantu pasukan mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan serta memburu trofi kejuaraan musim ini," katanya. - Berita Harian