Nelayan dicadang jadi Rela, Renjer Laut

KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bercadang untuk melatih golongan nelayan di negara ini sebagai sukarelawan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Renjer Laut bagi membantu pihak berkuasa memantau pencerobohan kawasan laut.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, ia ekoran masalah pencerobohan di perairan negara masih berlarutan selain banyak aduan diterima membabitkan isu pelanggaran kawasan zon penangkapan.

Beliau berkata, masalah yang masih tiada penghujung itu menyebabkan negara kehilangan banyak hasil laut.

“Dalam hal ini, kita boleh melantik orang awam terutama nelayan sebagai sukarelawan untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi membantu memantau aktiviti di laut kerana mereka sememangnya mahir dengan selok belok lautan.

“Cadangan itu sudah dibincangkan di peringkat kementerian, namun ia memerlukan perbincangan lebih terperinci dengan Kementerian Dalam Negeri.

“Ini kerana ia turut membabitkan soal penguatkuasaan dan keselamatan” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kecemerlangan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Pelancaran Produk Tuna Shack di Laman Perikanan, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF, Datuk Dr Bah Piyan Tan dan Setiausaha Bahagian Industri Tanaman, Ternakan dan Perikanan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Habshah Ali.

Sementara itu, Salahuddin berkata, peranan ejen pengembangan DOF di seluruh negara perlu diperkukuhkan kerana mereka adalah barisan hadapan menghubungkan kerajaan dan rakyat.

“Ketika ini, terdapat kira-kira 800 ejen pengembangan DOF di seluruh negara dan mereka perlu meningkatkan lagi pengetahuan terutama dalam bidang teknologi baharu bagi memperkukuhkan lagi peranan dipertanggungjawabkan.

“Dari situ, segala informasi penting termasuk hala tuju baharu MOA dapat disampaikan dengan lebih tepat kepada rakyat,” katanya.



Sumber: cempedakcheese.com