KLANG – Jemaah Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah dekat sini terkejut apabila menemui sebuah patung berhala yang diletakkan bersebelahan pintu masuk utama surau berkenaan, petang semalam.
Patung berhala itu ditemui pukul 4.15 petang oleh siak surau, Mohd. Yatim Omar, 64, ketika hadir di surau tersebut bagi persiapan solat Asar.
Menurut Mohd. Yatim, patung itu ditemui olehnya ketika beliau mahu membuka pintu surau berkenaan yang berkunci.
Katanya, sewaktu pulang selepas selesai menunaikan solat Zuhur didapati tiada patung tersebut di dalam pekarangan surau berkenaan.
“Terkejut dengan kejadian itu, saya kemudiannya memanggil ahli jawatankuasa (AJK) serta kariah surau tersebut bagi melihat sendiri patung tersebut.
“Saya tidak tahu apa motif patung berhala itu diletakkan di surau ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd. Yatim menambah, perkara ini sangat sensitif berikutan ia mencemarkan tempat ibadah bagi masyarakat yang beragama Islam.
Ujar beliau, pihaknya tidak mengetahui siapa yang melakukan perbuatan tersebut memandangkan surau ini tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup televisyen (CCTV).
“Sudah tentu, kami kecewa dan terguris akan perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan menggesa dalangnya tampil memohon maaf.
“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dilakukan awal pagi tadi di Balai Pandamaran, Klang Selatan serta menyerahkan patung itu bagi siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya. – K! ONLINE
Sumber: cempedakcheese.com