Rafizi bebas tuduhan siar tohmahan Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, daripada tuduhan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) di akaun Facebook miliknya.

Majistret Umzarul An-Nur Umar membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Zulkefli, memberitahu mahkamah pihak pendakwaan menerima arahan untuk tidak meneruskan kes terhadap Rafizi, 42.

“Pejabat Peguam Negara sudah menerima representasi yang dihantar oleh Mohd Rafizi pada 24 Januari lalu.

“Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.

Terdahulu, prosiding itu ditetapkan untuk perbicaraan hari pertama peringkat bela diri terhadap Mohd Rafizi yang diwakili peguam Md Yunos Shariff dan Adi Zulkarnain Zulkafli.

Pada 8 April 2016, Mohd Rafizi didakwa menyiarkan artikel bertajuk ‘Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015’ dalam akaun Facebook Mohd Rafizi bertarikh 9 Februari 2016, yang mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Mohd Rafizi dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak di sini, pada jam 9 pagi, 18 Februari 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 25 September 2018, bekas Ahli Parlimen Pandan itu diperintahkan membela diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.



Sumber: cempedakcheese.com