Akaun UMNO dibeku kerana skandal 1MDB

KUALA LUMPUR – Akaun UMNO masih dibekukan mengikut Akta Pencegahan Peng­ubahan Wang Haram, Pen­cegahan Pem­biayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA) kera­na mempu­nyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ini kera­na, siasatan skandal itu dengan parti tersebut masih berjalan.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang adalah untuk menggantung atau menarik balik pembekuan akaun itu, namun bagi UMNO, saya rasa ini berkaitan dengan kes yang masih berjalan kerana mempunyai kaitan skandal 1MDB.

“Sekiranya, ia berkaitan dengan skandal yang tidak melibatkan 1MDB, kita boleh semak tetapi untuk 1MDB, ia tidak boleh dipertikaikan lagi kerana satu dunia tahu ini adalah skandal rasuah hanya UMNO sahaja tidak tahu.

“Saya harap Yang Berhormat (YB) sedar dan mengakui skandal terbesar di dunia itu sehingga Malaysia digelar sebagai kleptokrasi,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.

Guan Eng menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang meminta kerajaan menjelaskan mengapa akaun UMNO dibekukan lebih daripada 90 hari memandangkan pembekuan akaun di bawah AMLATFA tidak boleh melebihi tempoh tersebut.



Sumber: cempedakcheese.com