Cukai minuman akan digunakan untuk biaya sarapan percuma untuk kanak-kanak

TIDAK akan ada lagi cukai baharu bagi tahun ini kecuali cukai ke atas gula yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2019, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

“(Bagaimanapun), ia (pelaksanaannya) ditangguhkan buat sementara waktu kerana kita mahu memastikan mekanisme itu berkesan terutamanya untuk memenuhi matlamat kesihatan negara,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Invest Malaysia 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Cukai eksais 40 sen seliter ke atas minuman bergula yang sepatutnya mula dilaksanakan pada 1 April 2019 bagaimanapun ditangguhkan kepada 1 Julai 2019.

Ketika membentangkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan cukai gula akan dikenakan ke atas minuman yang mengandungi gula melebihi lima gram bagi setiap 100 mililiter, begitu juga jus yang mengandungi lebih 12 gram gula bagi setiap 100 mililiter.

Perdana Menteri juga berkata, mulai tahun depan, kerajaan akan menggunakan hasil yang dikutip daripada cukai itu bagi menjalankan program sarapan berkhasiat dan percuma kepada semua kanak-kanak sekolah rendah.

“Kita mahu anak-anak kita kuat dan sihat untuk mencapai prestasi baik di sekolah,” katanya.



Sumber: cempedakcheese.com