Kebuntuan Jaringan Kipre Tchetche, Irfan Bakti Mungkin...


KUALA TERENGGANU: Selepas kecewa dengan prestasi 'ayam tambatannya' Kipre Tchetche yang masih gagal meledak sebarang gol selepas enam perlawanan, ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim tanpa berselindung tidak mahu lagi bergantung sepenuhnya kepada pemain itu untuk merobek kubu lawan.

Malah beliau juga mengakui corak permainan pemain kelahiran Ivory Coast itu yang muncul penjaring kedua terbanyak Liga Super musim lalu dengan menghasilkan 14 gol tidak seperti mana prestasinya tahun lalu.

Pemain termahal skuad Penyu itu yang digelar 'Drogba Ganu' juga dilihat masih tercari-cari rentak untuk mempamerkan kualiti sebenarnya di dalam padang walaupun sebahagian besar rakan sepasukannya musim ini adalah pemain sama musim lalu kecuali Sanjar Shaakmedov dan Ahmad Syamim Yahya.

"Saya lihat pemain itu (Tchetche) masih lagi bergelut untuk menghasilkan jaringan pertamanya musim ini biar pun sudah diberi peluang yang lebih luas dalam enam perlawanan terdahulu.

"Namun prestasinya tidak begitu membanggakan sebagaimana musim lalu ketika muncul penjaring terbanyak pasukan dengan meledak 24 gol keseluruhan sepanjang Liga Malaysia (Liga M).

"Kini kami tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pemain itu untuk tugas merobek gawang lawan setiap kali kami beraksi sebaliknya pemain lain juga harus memikul tugas menjaringkan gol bagi mengelak kita terus kemarau jaringan.

"Setakat enam perlawanan terdahulu kita baharu berjaya meledak lapan gol. Dan jika dianalisis jaringan itu sepatutnya mampu menghasilkan lebih lagi jaringan berdasarkan keupayaan dan kelebihan yang ada pada pemain kita," kata Irfan.

Bekas pemain kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman itu sebelum berhijrah ke Terengganu pada pertengahan liga 2017 sudah dipanggil 'mengadap' dan diminta memberi surat tunjuk sebab oleh Irfan berikutan prestasi merudum pemain berusia 32 tahun itu.

Bagaimanapun beliau menuntut pemain yang memakai jersi bernombor 23 itu yang berjaya menjaringkan 36 gol sepanjang 57 penampilan bersama skuad Penyu itu mampu menamatkan kemarau jaringan selepas tempoh rehat panjang nanti.

"Saya harap pemain itu kembali bangkit membuktikan kemampuan sebenarnya lebih-lebih lagi pemain itu kini dilihat berusaha keras untuk meningkatkan prestasinya termasuk dengan melakukan tambahan latihan sendiri," katanya.

TFC kini berada di tangga keenam liga dengan mengutip sembilan mata hasil kemenangan menumpaskan Kuala Lumpur (1-0) dan Melaka United (3-0) selain seri tiga perlawanan iaitu bertemu PKNS FC (1-1), Johor Darul Ta'zim (2-2) dan Perak (1-1). - Berita Harian