Kerajaan PH akan bina banglo di tapak Highland Towers

KUALA LUMPUR – Tapak kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Hulu Klang, yang terbiar sejak 26 tahun lalu, bakal dibangunkan dengan 50 unit banglo dan taman rekreasi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata pembangunan akan bermula selepas baki dua blok kondominium berkenaan dirobohkan, yang dijangka Jun depan.

Katanya, nama Highland Towers akan dikekalkan kerana ia memiliki nilai sejarah tersendiri, selain bagi menarik pelancong tempatan dan asing.

“Berdasarkan perancangan jangka panjang, pemaju yang juga pemilik tanah ketika ini sudah mempunyai ilustrasi pembangunan yang mahu didirikan, iaitu taman rekreasi dan 50 banglo.

“Banglo ini boleh dibangunkan kerana ia bukan pembangunan berisiko, manakala taman itu akan memanfaatkan penduduk sekitar kawasan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Pada Ogos tahun lalu, Highland Towers dicadang dibangunkan semula sebagai lokasi taman rekreasi, memandangkan struktur tanah di kawasan itu tidak sesuai untuk pembinaan perumahan.

Zuraida berkata, perobohan dua blok itu kini hanya menunggu laporan penuh Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers pada minggu pertama Mei depan.

Katanya, ia akan memuktamadkan aspek tanah dan struktur bangunan itu sebagai tidak selamat, selain memperincikan beberapa aspek perundangan.

Beliau berkata, kementerian kini menunggu pengurusan kes di mahkamah pada 4 April ini untuk membatalkan 10 pemilikan di dua lagi blok bangunan itu.

“Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan membawa kes ini ke mahkamah, dan bertanggungjawab merobohkan baki blok bangunan itu,” katanya.

Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers runtuh dalam tragedi yang meragut 48 nyawa.



Sumber: cempedakcheese.com