WELLINGTON – Seluruh New Zealand bagaikan terhenti seketika apabila rakyat negara itu bertafakur selama dua minit pada pukul 1.32 petang waktu tempatan tadi sebagai menghormati mangsa serangan ganas di dua masjid di Christchurch, minggu lalu.
Portal Stuff melaporkan, orang ramai berkumpul di Taman Hagley, Christchurch bertafakur sebelum azan berkumandang di Masjid al Noor di Deans Ave.
Semua stesen televisyen dan radio percuma membuat siaran langsung bagi menghormati mangsa yang terkorban dan cedera dalam serangan yang dilakukan pengganas kulit putih di Masjid al Noor dan Masjid Linwood.
Perdana Menteri, Jacinda Ardern, pemimpin masyarakat dan kira-kira 30 kenamaan luar negara telah dijemput oleh masyarakat Islam untuk acara tersebut dan dijangka tamat pada pukul 2 petang waktu tempatan.
Ardern dijangka memberi ucapan ringkas selepas tamatnya solat Jumaat.
Sumber: cempedakcheese.com