Rakan sekampung dakwa suspek bersopan santun dan berbudi bahasa

TATKALA warga Islam di New Zealand sedang bersiap-sedia untuk menunaikan solat Jumaat, beberapa das tembakan kedengaran di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand.

Sehingga saat ini, tragedi berdarah itu telah mengorbankan 49 individu dan 40 lagi dilaporkan mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di hospital tempatan.

Polis Australia mengenal pasti pengganas Brenton Tarrant, warga Australia berkulit putih berusia 28 tahun. Susulan itu laman sosial Twitter telah menutup akaun yang menggunakan nama itu.

Sebelum itu, suspek didakwa telah memuat naik manifesto mengandungi 73 halaman berbau kebencian perkauman. Beberapa portal antarabangsa memutuskan untuk tidak menerbitkan manifesto berkenaan.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison mengesahkan seorang lelaki yang telah diberkas ialah warga negara itu. Morrison melabel Tarrant seorang ‘ekstremis, berhaluan kanan dan pengganas’.

Portal berita Sky News pula melaporkan Tarrant berasal dari Grafton.

Ekoran dari tragedi itu penduduk di Grafton dilaporkan terkejut dan masih cuba menerima hakikat bagaimana lelaki muda yang bersopan santun dan berbudi bahasa bertanggungjawab dalam tragedi berdarah di Christchurch.

Tarrant merupakan seorang penuntut di sebuah sekolah menengah dan kemudiannya bekerja di sebuah jimnasium, di mana beliau sering memberi latihan fizikal percuma kepada kanak-kanak di situ.

Pada April 2010, bapanya meninggal dunia selepas bertarung dengan barah. Tarrant meninggalkan kampung halamannya untuk menjelajah seluruh dunia selama tujuh tahun.

Rakan-rakannya di kampung membuat spekulasi yang beliau telah mengalami ‘proses radikalisasi’.

Keluarga dan rakan-rakannya kini sedang membantu siasatan, memetik portal Sky News.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush melaporkan seorang lelaki berusia 28 tahun telah diberkas dan dijangka akan menghadiri sesi pendengaran dan didakwa kerana membunuh di Mahkamah Daerah Christchurch pada Sabtu pagi.



Sumber: cempedakcheese.com