Tubuh badan berkecai digilis beberapa kenderaan

LELAKI maut selepas digilis beberapa kenderaan dalam kemalangan di Kilometer 441.9 Lebuhraya Utara Selatan, di Rawang, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas seluruh anggota badan dan kepalanya hancur digilis beberapa kenderaan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15 dalam perjalanan dari arah utara menghala ke selatan.

“Sebaik tiba di lokasi, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan menyebabkannya tercampak ke laluan bertentangan.

“Mangsa kemudian digilis beberapa kenderaan yang berada di laluan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Samsor berkata, terdapat kesan cebisan mayat mangsa sepanjang 50 meter di lokasi kejadian.

“Motosikal mangsa ditemui di laluan kecemasan arah selatan dipercayai dialihkan dan mengalami kerosakan pada bahagian depan serta kiri kenderaan itu.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. Usaha mengesan saksi sedang giat dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Dzulhafizie Abd Rasid di talian 013 7465469 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.



Sumber: cempedakcheese.com