Cuba dapat bantuan pakar kanser UK, bapa harap Ainul Mardhiah terus bertahan

BERKAT keprihatinan orang ramai, bayi malang yang menghidap kanser, Ainul Mardhiah, 8 bulan tidak putus-putus menerima sumbangan dari pelbagai pihak malah ada individu yang sanggup menjual barangan peribadi kesayangan masing-masing.

Terbaru, bapa Ainul Mardiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak dalam satu kemaskini Facebook memberitahu, dia kini sedang menunggu maklum balas dari pihak hospital di United Kingdom untuk mendapatkan rawatan di sana.

Tiada yang mustahil bagi Allah SWT

Menurut Ahmad Safiuddin, salah seorang kenalannya telah membawa laporan kesihatan Ainul untuk diberikan kepada pakar perubatan kanser di hospital tersebut.

“Kenalan di sana dah bawa medical report Ainul kepada Pakar perubatan kanser di sana. Harap mereka boleh lakukan sesuatu,” katanya.

Tambah Ahmad Safiuddin, dia akan mencari pelbagai alternatif bagi menyembuhkan penyakit Ainul selagi Yang Maha Kuasa memberi peluang anaknya untuk terus bernafas.

“Selagi Allah izinkan Ainul bernafas, selagi itu walid akan cari jalan untuk merawat Ainul.

“Doakan supaya Allah mengizinkan Ainul pergi ke sana. Hanya Allah penentu segalanya,” ujarnya.

Semoga adik Ainul dan keluarganya terus kuat dalam menghadapi dugaan ini sementara menunggu rawatan yang akan menyusul selanjutnya.

Sumber: Ahmad Safiuddin



Sumber: cempedakcheese.com