Dalam 1 juta ahli Pas, 800 ribu berkira nak keluar parti, kata Mat Sabu

Tidak dapat dinafikan dalam sejuta ahli Pas yang ada kini 800 ribu sedang membuat peralihan. Demikian dinyatakan oleh Presiden PAN, Mohamad Sabu ketika menyampaikan ceramah beliau di Bukit Besar, Kedah pada Ahad.

Malah katanya, setelah menjadi kerajaan pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi membela nasib rakyat oleh kerajaan PH.

Ini termasuklah menubuhkan beberapa jawatankuasa siasatan bagi menyiasat segala kepincangan terdahulu.

“Dah jadi kerajaan, kita tubuh jawatankuasa siasatan untuk siasat Kementerian Pertahanan dulu.

“Antaranya ialah tanah Mindef yang hendak ditukar kepada tanah lain untuk dilaksanakan pembangunan sebelum ini.

“Setelah dilakukan siasatan didapati wujudnya kerugian sehingga RM500 juta dan ia merupakan suatu kerugian yang amat besar, ” jelasnya lagi.

Selain itu katanya, beberapa kem yang diwujudkan sebelum ini semasa pentadbiran BN seperti Kem Hutan Melintang dan juga Kem Paloh hanyalah untuk membawa pengundi bagi memastikan kemenangan BN.

Sehubungan itu kerajaan kini akan memperbetulkan segala kepincangan yang ada bagi menyelamatkan kewangan negara.

“Kita akan buat perubahan dan berusaha mendakwa mereka yang melakukan penyelewengan.

“Sementara itu janji di Kedah untuk membina Hospital Pendang sejak zaman kepimpinan kerajaan BN akan direalisasikan oleh kerajaan PH kini.

“Pembinaan hospital ini telah pun dikeluarkan peruntukan dan akan mula dibina bagi memberi kemudahan kepada penduduk yang terpaksa mendapatkan khidmat rawatan dari Hospital di Alor Setar dan Sungei Petani yang agak jauh, ” ujarnya.

Tambah beliau lagi, menjelang tahun kedua kepimpinan kerajaan PH tidak lama lagi, ia akan terus menapak ke hadapan.

“PAN akan terus menyinari Kedah dan juga negara ini.

“Ini termasuklah penyertaan keahlian baru PAN pada malam ini

“Penyertaan keahlian PAN yang begitu ramai pada malam ini membuktikan keyakinan rakyat terhadap perjuangan AMANAH dan PH kini, ” tambah beliau.

Dalam majlis yang sama beliau turut menerima penyertaan hampir 1,000 ahli baru PAN.



Sumber: cempedakcheese.com