Soalan:
Apakah hukum kita membaca kitab-kitab agama lain seperti New Testament atau kitab Veda? Bagaimana pula jika kita membaca buku-buku karangan penulis yang bukan beragama Islam?
Jawapan:
Dalam isu ini terdapat dua isu:
1. Membaca kitab agama lain seperti New Testament, Veda dan Talmud.
Para ulama banyak membahaskan pandangan mereka berkenaan isu ini.
Kata al-Imam al-Nawawi, kitab Taurat dan Injil merupakan antara yang haram untuk diambil manfaat daripadanya, kerana ia telah diubah dan dipesongkan oleh para penganutnya. (Rujuk Raudh al-Tolibin 10/259)
Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani pula menyebut bahawa hanya mereka yang pakar sahaja yang dibenarkan untuk mengkaji Taurat dan Injil, lebih-lebih lagi untuk menyanggah pandangan-pandangan mereka yang menyeleweng. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 13/525)
Sementara Imam al-Rahibani al-Hanbali mengharamkan bacaan kitab Kristian dan Yahudi, dan tidak juga buku-buku yang bercampur antara yang haq dan yang batil. (Rujuk Syarh al-Sunnah 1/270)
Ini berdasarkan hadith Nabawi yang diriwayatkan oleh Jabir ibn Abdillah RA:
أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكِتَابٍ أَصَابَهُ مِنْ بَعْضِ أَهْلِ الْكُتُبِ ، فَقَرَأَهُ على النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَغَضِبَ وَقَالَ : أَمُتَهَوِّكُونَ فِيهَا يَا ابْنَ الْخَطَّابِ ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَقَدْ جِئْتُكُمْ بِهَا بَيْضَاءَ نَقِيَّةً ، لَا تَسْأَلُوهُمْ عَنْ شَيْءٍ فَيُخْبِرُوكُمْ بِحَقٍّ فَتُكَذِّبُوا بِهِ ، أَوْ بِبَاطِلٍ فَتُصَدِّقُوا بِهِ ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ، لَوْ أَنَّ مُوسَى كَانَ حَيًّا ، مَا وَسِعَهُ إِلَّا أَنْ يَتْبَعَنِي
Suatu hari Umar al-Khattab R.A datang kepada Nabi SAW dengan satu tulisan yang diperoleh daripada ahli kitab, dan beliau membacanya kepada Baginda SAW, lalu Baginda murka dan bersabda: “Adakah kamu masih keliru tentangnya wahai anak al-Khattab? Demi jiwaku yang berada pada tangan-Nya, sesungguhnya aku telah datang kepada kalian dengan suatu agama yang suci lagi bersih. Usahlah kamu bertanya kepada ahli kitab tentang satu perkara yang jika diberitahu kepada kamu tentang suatu kebenaran, kamu mendustakannya, atau diberitahu kepadamu tentang suatu kebatilan, kamu membenarkannya. Demi jiwaku yang berada pada tangan-Nya, jika sesungguhnya Nabi Musa AS masih hidup, nescaya tidak dibenarkan baginya melainkan perlu beliau perlu mengikutiku.” [Musnad Ahmad (15156). Syeikh Syu’aib al-Arna’uth menyatakan bahawa hadith ini bertaraf hasan]
Namun larangan ini terkecuali kepada mereka yang benar-benar mantap kefahaman agamanya, luas penguasaannya terhadap al-Qur’an dan al-Hadith dan mampu membezakan yang haq daripada yang batil. (Rujuk Matolib Uli al-Nuha 1/607-608)
2. Membaca buku karangan penulis non-Muslim.
Secara umumnya, membaca buku karangan penulis non-Muslim yang tidak berkait dengan agama mereka, atau yang tidak mempunyai unsur-unsur yang menyalahi agama, maka hukumnya adalah diharuskan. Contohnya adalah buku-buku sastera, motivasi, kepimpinan dan teori pengurusan ekonomi.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْكَلِمَةُ الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ حَيْثُمَا وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا
“Perkataan yang bijak itu asalnya merupakan barangan milik orang mukmin yang hilang. Di mana sahaja dia dapati, maka dia lebih berhak ke atasnya.” [Riwayat Ibn Majah (4169) dan al-Tirmidzi (2687)]
Adapun buku-buku keagamaan seperti teori agama Kristian, pengenalan terhadap agama Hindu dan sebagainya, atau buku-buku fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam seperti pluralisme agama, maka hukumnya adalah haram bagi yang tidak mempunyai kefahaman agama yang mantap dan bimbingan guru yang dipercayai.
Kami tegaskan sekali lagi, jika ingin membaca buku-buku berkenaan muqaranah al-adyan atau agama-agama lain, maka hendaklah seseorang itu:
- Sudah mengetahui dan mendalami agama Islam.
- Mempelajari dan berguru dengan guru yang thiqah dan dipercayai.
- Adanya keperluan untuk menangkis sebarang bentuk syubhah.
- Untuk memberi kefahaman yang jelas kepada umat Islam.
- Mempelajari untuk menjauhkan dari terpesong sepertinya.
- Tidak mengambil faedah yang bertentangan dengan apa yang diperintahkan oleh Islam sepertimana sabda Nabi SAW kepada Saidina Umar R.A.
- Sentiasa mengutamakan kitab-kitab yang dikaryakan oleh ulama’ Islam yang thiqah dan masyhur seperti Imam al-Syahrastani, Syeikh Abu Zahrah dan lain-lain.
- Mempunyai asas akidah yang kukuh, makrifah serta kefahaman yang jelas berkenaan Islam dan perkara yang boleh membatalkannya.
Kesimpulan
Tuntasnya, kami menyimpulkan bahawa seseorang itu tidak boleh membaca dan mengkaji kitab-kitab agama lain dan buku-buku yang mengandungi fahaman yang sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar, melainkan setelah dia mempunyai fahaman agama yang mantap dan mendapat daripada bimbingan guru yang mursyid.
Satu kaedah menyebut:
عَرَفْتُ الشَّرَّ لَا لِلشَّرِّ ولَكِن لِلتَّوَقِّي
“Aku mengetahui kejahatan bukan untuk melakukan kejahatan tetapi untuk memelihara dari melakukan kejahatan.” (Lihat Tafsir al-Kasysyaf, 1/172)
Adapun bagi buku-buku yang tidak mempunyai unsur-unsur agama lain, atau fahaman sesat seperti novel, buku motivasi dan ekonomi, maka tiada masalah untuk membaca dan mengambil manfaat daripadanya. Wallahu a’lam.
+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media