Kecederaan Nwakaeme Bonus Buat Terengganu FC - Irfan Bakti


Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, menyifatkan kecederaan yang dialami penyerang Pahang, Dickson Nwakaeme, sebagai bonus buat pasukannya menjelang suku akhir pertama Piala FA di Kuala Terengganu, malam esok.

Pertemuan 'derby' pantai timur itu sememangnya mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan.

Kedua-dua pasukan pernah bertemu dalam aksi Liga Super di mana Pahang menewaskan TFC 3-0 di Kuantan, Februari lalu.

Bagaimanapun, berita gembira diterima skuad kendalian Irfan itu apabila Nwakaeme tidak akan diturunkan dalam aksi suku akhir pertama berkenaan ekoran kecederaan paha.

"Bagi saya, ia tidak seberapa kerana ia perlawanan 11 lawan 11, jadi Pahang pun memiliki senarai pemain yang cukup lengkap.

"Mereka tidak hanya mengharapkan Nwakaeme tetapi ia sekurang-kurangnya mengurangkan bebanan pertahanan saya," katanya.

Skuad TFC dikhabarkan bebas daripada sebarang kecedeaan kecuali pemain pertahanan, Igor Zonjic, yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan, namun Irfan menjelaskan pemain itu masih bertekad untuk diturunkan bagi memastikan pasukannya membawa bekalan selesa menjelang aksi kedua di Kuantan, 10 Mei ini.

"Kali terakhir saya tengok Pahang menentang JDT (Johor Darul Ta'zim), permainan mereka sudah berubah jika hendak dibandingkan ketika mereka menewaskan kami 3-0 tempoh hari.

"Dalam Piala FA ini, pemain-pemain kami sudah bersedia untuk membuat kejutan," tambahnya. - Arena