Rakyat akan sedar PH lebih baik berbanding BN, kata Kok

KETIDAKPUASAN hati terhadap Pakatan Harapan (PH) yang semakin meningkat disebabkan harapan tidak realistik rakyat untuk melihat perubahan drastik, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Dalam temu bual dengan portal berita Malaysiakini, Kok berkata pengundi akan melihat PH adalah kerajaan lebih baik, tetapi ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun.

“Mereka tidak faham bahawa kita mewarisi syarikat (kerajaan) yang mempunyai hutang besar dan banyak masalah, termasuk masalah struktur,” katanya mengenai rasa tidak puas hati penyokong PH terhadap kerajaan yang kini hampir setahun memerintah.

“Saya bagaimanapun tak percaya kita akan menjadi kerajaan sepenggal,” kata Kok.

Timbalan setiausaha agung DAP itu berkata PH perlu mendengar maklum balas daripada rakyat sambil mempercepatkan agenda pembaharuannya.

“Kita faham situasi ketika ini tidak berapa baik untuk orang berniaga dan orang biasa, dan kita sedang cuba perbaiki,” katanya dalam temu bual itu.

Ahli Parlimen Seputeh berkata walaupun ada yang merungut, beliau yakin semua rakyat Malaysia akan menyokong pakatan sebaik sahaja mereka mampu “membawa peningkatan ekonomi, perubahan kepada institusi dan menunjukkan kita serius dalam memerangi rasuah”.

“Saya rasa rakyat akan lihat dalam lima tahun, kita merupakan kerajaan yang lebih ideal berbanding BN,” katanya.

Kok berkata apabila Pakatan Rakyat yang kini tidak berfungsi mengambil alih kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor pada 2008, mereka terus mempertahankan kedua-dua negeri dalam pilihan raya umum seterusnya datang walaupun berdepan masalah dan sentimen serupa yang mendorong beberapa orang berpendapat gabungan itu tidak akan bertahan lama.

“Di Selangor, kita menghadapi banyak masalah dan demonstrasi diadakan secara bulanan. Namun, kita boleh bertahan selama tiga penggal,” katanya.



Sumber: cempedakcheese.com