4 maut nahas dua kereta

KUALA NERUS – Empat maut, manakala seorang lagi cedera apabila dua kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan berhampiran tempat pembuangan sampah di Kampung Sungai Ikan, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, berkata dalam kejadian jam 9.15 pagi, semua mangsa tersepit di dalam kenderaan sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba.

Beliau berkata, sebaik sahaja pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.30 pagi, 11 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera serta ambulans Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan dua kenderaan, iaitu sebuah kereta jenis Peugeot yang dinaiki tiga mangsa dan sebuah Proton Aeroback dinaiki dua mangsa.

“Kita mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkan mayat kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Setakat ini, identiti mangsa terbabit masih belum dikenal pasti.



Sumber: kulihatlangitbiru.com