Ainul Mardhiah ke London malam ini, mohon doa seluruh rakyat Malaysia

KELUARGA bayi comel yang menderita kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin akan berlepas ke London, United Kingdom (UK) malam ini untuk mendapatkan rawatan doktor pakar.

Malah, menurut bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, dia sekeluarga mungkin terpaksa menyambut lebaran kerana bayi mereka dijangka menjalani pembedahan di sana.

“Saya masih tak tahu lagi macam mana perjalanan di sana nanti dan belum boleh tahu tempoh rawatan lagi. Sampai sana nanti baru tahu semuanya.

“Sepanjang rawatan di sana, insya-ALLAH dana yang ada mencukupi, soal tempat tinggal nanti akan diputuskan kemudian.

“Terima kasih rakyat Malaysia, kami sekeluarga sangat terhutang budi dan mendoakan ALLAH lipat gandakan rezeki buat anda semua,” katanya.

Menurut Ahmad Safiuddin, kos rawatan untuk anaknya sudah mencukupi dan setakat ini Ainul dilaporkan sihat walafiat.

“Jika tak cukup nanti di sana, saya akan cuba usahakan. Saya tak mahu susahkan sesiapa lagi. InsyaALLAH ada rezeki kami nanti.

“Yang penting sekarang ini, Ainul dapat dirawat sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara Ainul Mardhiah, Kharil Fadzly Rosli turut memaklumkan mereka sekeluarga akan bersama menghantar anak saudaranya ke KLIA.

“Penerbangan berlepas dijangka pada jam 11.30 malam dan kami semua berharap Ainul Mardhiah kuat dan cepat sembuh daripada rawatan di London nanti.

“Mungkin kami tak dapat beraya bersama kerana mereka berada di perantauan tapi yang penting, Ainul dapat dirawat dan sihat.

“Semoga semuanya dipermudahkan dan jika diizinkan ALLAH, Ainul dan sepupunya dapat beraya bersama tahun depan,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Safiuddin berkata, usaha membawa Ainul Mardhiah untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di London merupakan satu risiko yang perlu ditanggung.

Namun mereka masih meletakkan harapan yang tinggi agar Ainul Madhiah dapat menjalani kehidupan normal seperti bayi lain.

Penderitaan Ainul Mardhiah yang menghidap penyakit kanser mulut turut menarik perhatian doktor pakar kelahiran Malaysia, Pakar Pelatih Surgikal yang juga bekas pelajar cemerlang SMK Ulu Tiram, Johor Bahru, Dr. Nur Amalina Che Bakri yang berusaha berbincang dengan sekumpulan doktor pakar di UK bagi melakukan pembedahan ke atas bayi perempuan itu.

Susulan laporan mengenai Ainul Mardiah, Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari turut menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk membiayai kos pengangkutan dan penerbangan keluarga itu bagi rawatan pembedahan di UK.



Sumber: kulihatlangitbiru.com