Buat apa berdebat dengan ‘pencuri’ – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak seharusnya meneruskan debat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memandangkan Ahli Parlimen Pekan itu adalah seorang pencuri.

Kenyataan itu ditegaskan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman yang dilihat menyokong tindakan Kit Siang membuat pusingan U selepas mencabar Najib untuk berdebat baru-baru ini.

“Buat apa nak berdebat dengan pencuri. Saya cadangkan Najib berdebat dengan hakim di mahkamah.

“Beliau akan diadili di sana. Ini kerajaan yang berpegang teguh dengan prinsip rule of law,” katanya memetik laporan portal Malaysiakini di sini hari ini.

Terdahulu, Kit Siang mencabar Najib untuk berdebat mengenai topik bagaimana Malaysia menjadi negara kleptokrasi global dan bagaimana kita mampu menjadi peneraju negara yang berintegriti.

Cabaran kemudian disambut oleh Najib yang bersetuju dengan topik tersebut.

Bagaimanapun, Kit Siang memaklumkan dia terpaksa menarik diri daripada debat itu dengan alasan penyokongnya tidak memberi galakan. – UTUSAN ONLINE



Sumber: kulihatlangitbiru.com