Bursa Malaysia ditutup lemah, terendah sejak Jun 2016

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia mengalami penurunan secara menyeluruh hari ini ekoran kebimbangan mengenai musim pendapatan suku pertama dan kecairan yang lemah, selain perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang kembali tegang.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh ke paras terendah sejak Jun 2016 kepada 1,601.09, penurunan sebanyak 9.18 mata berbanding 1,610.27 pada penutupan Jumaat lalu.

Indeks penanda aras yang dibuka pada 1,610.55, bergerak antara paras rendah 1,598.60 dan tinggi pada 1,611.47 sepanjang dagangan.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 815 berbanding 140, manakala 260 kaunter tidak berubah, 694 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.48 bilion saham bernilai RM1.65 bilion berbanding 2.29 bilion saham bernilai RM1.84 bilion pada Jumaat.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata gabungan ‘buruk’ kecairan domestik yang lemah dan pendapatan korporat akan terus menjejaskan pelabur asing untuk menyertai pasaran.

“Jika anda mencatat prestasi keuntungan yang kukuh dan kecairan yang lemah, pasaran saham masih boleh meningkat memandangkan dana asing akan mengakui bahawa asasnya masih kukuh, namun kini secara umumnya pendapatan korporat dan kecairan secara umumnya lemah, sekali gus tiada insentif untuk mereka datang,” katanya.

Oleh itu, beliau menjangkakan sokongan berikut ialah pada 1,587 memandangkan paras sokongan 1,600 ditembusi hari ini.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pelabur akan terus berhati-hati dalam strategi pelaburan mereka dalam tempoh terdekat, memantau data suku pertama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), yang dijangkakan mencatat pertumbuhan yang perlahan.

“Kini berlaku perang perdagangan, dan kita masih tidak pasti sama ada China akan bertindak balas terhadap tindakan terkini AS, dan sama ada ia meliputi langkah-langkah bukan tarif seperti penurunan nilai mata wang atau menjual pegangan bon Perbendaharaan AS,” katanya.



Sumber: kulihatlangitbiru.com