Dipenjara 2 minggu atas tuduhan melakukan serangan seksual selepas dianiaya remaja yang dibantunya


Seorang lelaki mendakwa hidupnya musnah selepas remaja perempuan yang dibantunya telah menuduh dia melakukan serangan seksual. 

Kenan Basic, terpaksa menghabiskan dua minggu berada di dalam penjara kawalan ketat, hilang pekerjaan dan kini terpaksa menerima hakikat yang isterinya menuntut perceraian, selepas remaja terbabit membuat dakwaan palsu terhadapnya. 

Difahamkan dalam kejadian November lalu, Kenan menghulurkan bantuan terhadap remaja terbabit selepas keretanya mengalami kerosakan di Banktown, selatan barat Sydney.

Lelaki berusia 36 tahun itu yang mempunyai seorang anak, menghabiskan masa lebih kurang dua jam untuk membaiki kerosakan kereta itu. 

Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Kenan dan remaja itu bercakap seperti biasa dan berpelukan sebelum remaja itu meninggalkan tempat itu. 

Kenan kemudian mengekori kereta remaja itu dari belakang bagi memastikan keretanya tidak mengalami kerosakan lagi. 

Namun remaja itu membuat laporan polis mendakwa Kenan melakukan serangan seksual dan mengintainya. Malah mendakwa Kenan meminta melakukan hubungan seks dengannya sebagai upah kerana telah membantu membaiki keretanya sebelum mengekorinya dari belakang. 

Bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan Kenan atas tuduhan melakukan jenayah seksual dan meringkuk di dalam penjara selama dua minggu di Penjara Silverwater. 

Ekoran kejadian itu, Kenan juga hilang pekerjaan dan kini terpaksa melalui proses perceraian dengan isterinya yang menuntut untuk berpisah disebabkan tuduhan tidak berasas itu. 

Bagaimanapun pada Isnin lalu, kesemua tuduhan yang dikenakan terhadap Kenan digugurkan selepas remaja itu akhirnya mengakui dia berbohong setelah disoal siasat oleh pihak berkuasa. 

"Saya selalu membantu orang susah sepanjang hidup saya dan ini kali pertama orang yang dibantu menganiaya saya. Hanat betul. 

"Saya gembira akhirnya saya mendapat kembali kebebasan saya semula," kata Kenan. 

Kini, remaja terbabit berdepan dengan dakwaan membuat laporan dan keterangan palsu dan akan didakwa di mahkamah minggu depan. 

Kenan berkata, kejadian itu membuatkan dia serik untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan terutamanya golongan gadis muda, di masa akan datang. 

Sumber: Daily Mail


Sumber : thereporter.my