Duit raya peneroka? Saya tak tahu, tanya Azmin, kata Mahathir

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui tidak tahu sama ada bayaran insentif Hari Raya Aidilfitri akan diberikan atau tidak kepada 112,653 peneroka Felda di seluruh negara.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, persoalan berhubung perkara itu perlu ditanyakan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya tidak tahu… Pegawai kerajaan kita bagi. Mereka ini kita tidak tahu pegawai atau tidak. Itu kena tanya Mohamed Azmin,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2019 di bangunan Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Dr. Mahathir menjelaskan, mesyuarat tersebut tidak membincangkan tentang Felda dan soal melibatkan agensi kerajaan itu telah banyak kali dibincangkan pada forum-forum lain.

“Kita mempunyai cadangan-cadangan tertentu untuk membaiki keadaan di Felda,” katanya.

Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) yang mewakili suara hati kumpulan peneroka di seluruh negara sebelum ini tampil mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memenuhi permintaan mereka bagi memastikan sambutan raya pada tahun ini lebih bermakna.

Pengerusi MPNF, Datuk Mazlan Aliman berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada Dr. Mahathir bagi membolehkan kerajaan mempertimbangkan permintaan warga Felda sebelum kehadiran bulan Syawal.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya mempertimbangkan permintaan tersebut kerana pemberian duit raya itu membolehkan mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan masih belum membuat keputusan berhubung pemberian ‘duit raya’ kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara, susulan keadaan kewangan negara yang dibebani pelbagai hutang.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini berkata, keutamaan kerajaan kini ialah untuk memastikan pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil dibayar kepada peneroka sebelum Aidilfitri.

Beliau menjelaskan, kerajaan tidak berupaya memberikan sebarang janji dalam mengumumkan ‘duit raya’ kepada peneroka se­perti amalan yang dilaksanakan sejak 2011 bagi memastikan setiap perbelanjaan menepati matlamat jangka panjang.

Kerajaan pada tahun lalu mengumumkan bayaran insentif Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM450 kepada sebanyak 112,653 peneroka Felda di seluruh negara.

Guan Eng berkata, kementeriannya telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Felda melalui Jabatan Perdana Menteri untuk tujuan pemberian insentif berkenaan. – UTUSAN ONLINE



Sumber: kulihatlangitbiru.com