KEMAMAN – Kerajaan negeri mengambil keputusan memperketatkan had kelayakan kepada mereka yang berpendapatan isi rumah RM1,100 ke bawah bagi memastikan hanya rakyat yang layak dapat menikmati dana itu kerana sebelum ini didapati banyak berlaku penyelewengan dalam permohonan dana berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, daripada penelitian yang dilakukan, ada pemohon sebelum ini menipu slip gaji dan menyembunyikan kemewahan termasuk kenderaan peribadi milik mereka semata-mata untuk mendapatkan dana raya.
Berikutan itu katanya, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diberi peranan untuk mengenal pasti orang miskin dan orang kurang upaya (OKU) yang layak menerima dana itu pada tahun ini.
“Memang kerajaan negeri tahu, pemberian ini tidak akan mempopularkan kerajaan negeri tetapi inilah amanah yang kita tunaikan kepada rakyat selepas kita menjadi sebuah kerajaan.
“Hanya mereka yang layak sahaja akan menerima dana ini. Mengenai rungutan, kalau kita beri dana raya ini kepada ramai penerima pun, tetap akan ada rungutan kerana manusia sentiasa tidak akan berpuas hati,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai rungutan ramai rakyat negeri ini yang tidak berpuas hati disebabkan jumlah penerima dana itu berkurangan disebabkan had kelayakan pendapatan isi rumah yang lebih rendah ditetapkan tahun ini.
Hanafiah ditemui pada Majlis Iftar Ramadan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad Bersama Pelajar-Pelajar Tahfiz di Dewan Serbaguna Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB), di sini, semalam.
Ketika pentadbiran kerajaan BN, isi rumah berpendapatan RM2,500 pada 2015 layak memohon dana raya sebelum had kelayakan dinaikkan kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah bermula 2016.
Mengulas lanjut, Hanafiah yang juga ADUN Chukai berkata, kerajaan negeri memperuntukan peruntukan sebanyak RM16 juta untuk agihan dana raya tahun ini membabitkan jumlah penerima maksimum sebanyak 2,500 orang bagi setiap 32 DUN di seluruh Terengganu.
Tambah beliau, had kelayakan dana raya tahun ini direndahkan juga berikutan kekangan kewangan yang dihadapi selepas kerajaan pusat melakukan pemotongan pembayaran royalti minyak sebanyak 25 peratus.
“Dengan pemotongan itu, kerajaan negeri hilang peruntukan hampir RM400 juta di mana bajet kerajaan negeri pada tahun lepas adalah RM2.1 bilion dan sekaranh ia tinggal kira-kira RM1.6 bilion sahaja.
“Disebabkan itu kerajaan negeri juga terpaksa memotong semua peruntukan di seluruh jabatan kerajaan negeri termasuklah pemberian dana raya kali ini,” katanya.
Sumber: kulihatlangitbiru.com