Pemandu teksi kecewa tiada lagi bantuan selepas PH perintah Putrajaya

PETALING JAYA – Rata-rata pemandu teksi menyuarakan rasa kecewa dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook kerana gagal menjaga kebajikan industri itu selepas setahun mentadbir Putrajaya.

Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Shamsubahrin Ismail berkata, kini ramai pemandu teksi mengeluh kerana tiada lagi bantuan diberikan oleh kerajaan.

“Saya tidak berminat nak buat perbandingan sangat sebab kita faham kerajaan dalam masalah, tetapi nampak ketara sangat. Zaman BN kita tahu ada rasuah, tapi mereka bantu juga pemandu teksi. Salah mereka sebab tidak batal Uber dan Grab itu sahaja.

“Zaman BN paling tidak kita dapat sikit, kalau tidak duit tunai, kita dapat baucer minyak, baucer tayar, tapi zaman PH ni langsung tidak dapat apa-apa,” katanya kepada FMT.

“Jangan cakap nak dapat duit, ajak buka puasa pun tidak dapat. Sekarang nak jemput menteri susah. Bukan kita suruh kerajaan keluar duit, kita yang akan keluar duit,” kata beliau.

Shamsubahrin berkata, kerajaan bukan sahaja gagal menjaga kebajikan pemandu teksi, tetapi gagal menunaikan janji untuk memulihkan industri teksi, termasuklah mengenakan syarat sama rata kepada pemandu e-hailing.

“Saya jumpa Loke pada Disember 2018, beliau janji tidak akan menghampakan dan menghancurkan industri teksi. Beliau berjanji akan buat keputusan sama rata. Aku janji itu saya maklumkan kepada seluruh pemandu supaya berhenti melakukan demonstrasi bantah kerajaan pada waktu itu.

“Tetapi terbaharu menteri buat pusingan-U dengan berkata, pemandu e-hailing tidak perlu tukar status kenderaan persendirian. Ini jelas menunjukkan menteri tiada prinsip dan kita tidak tahu apakah hala tuju Kementerian Pengangkutan berhubung industri teksi,” katanya.

Beliau merujuk kepada kenyataan Loke sebelum ini yang memberitahu bahawa pemandu e-hailing diberikan kelonggaran untuk tidak menukar kategori kenderaan persendirian kepada kategori “AH” atau e-hailing persendirian.

Menurut Loke, syarat itu diputuskan selepas perbincangan antara Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas menerima rungutan daripada pemandu e-hailing, khususnya pemandu Grab.

Sebelum ini, pemandu e-hailing perlu menukar kod kenderaan persendirian kepada kod AH di JPJ sebagai salah satu syarat untuk menjadi pemandu perkhidmatan.

Loke juga berkata, kenderaan yang digunakan untuk e-hailing perlu ada lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV), insurans penumpang, pelekat e-hailing dan permit kenderaan e-hailing (EVP) daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).

Shamsubahrin menambah, pihaknya berikrar menolak kerajaan PH sepert pernah dilakukan terhadap kerajaan BN jika nasib industri teksi terus dianak tiri.

“Kami bukan ugut tapi apakah pilihan yang kami ada? Berbincang cara baik sudah, bersabar sudah, tapi sampai hari ini tidak ada apa-apa,” katanya, sambil memaklumkan lebih 80,000 pemandu teksi di seluruh negara akan menolak PH.



Sumber: kulihatlangitbiru.com