Pengusaha bas ekspres mahu kadar tambang dinaikkan 30 peratus

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Semenanjung Malaysia (Pembawa) menggesa kerajaan mempertimbangkan kenaikan kadar tambang bas ekspres sebanyak 30 peratus.

Pemangku Yang Dipertua Pembawa, Tajudin Mohamad Yunus berkata, syarikat pengendali bas ekspres kini semakin terbeban ekoran tambang dikenakan berdasarkan kos yang dibuat kira-kira 11 tahun lalu.

Katanya, dalam tempoh tersebut, kos operasi dan penyelenggaraan meningkat kira-kira 30 peratus di samping peningkatan kos lain termasuk minyak diesel yang melonjak lebih 50 peratus.

“Kami sedar selaku pengendali perkhidmatan yang berteraskan kepada rakyat. Apa jua tuntutan kami perlu selari dengan keadaan semasa ekonomi.

“Namun, apa yang kami suarakan bukanlah untuk menyusahkan mana-mana pihak, sebaliknya berharap pertimbangan sewajarnya diberi kepada pengusaha bas ekspres,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE



Sumber: kulihatlangitbiru.com