Terengganu FC Perlu Sedar


KUALA TERENGGANU: “Usah ulangi kesilapan sama, sebaliknya pemain perlu tampil dengan aksi lebih mantap," kata penolong jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohamad Nik.

Beliau berkata demikian ketika mengingatkan anak buahnya menjelang pertemuan dengan pendatang baharu Liga Super musim ini, Petaling Jaya City FC (PJ City) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok.

Selain itu, bekas pemain kebangsaan itu juga menuntut pemainnya melupakan episod malang tewas 0-4 kepada Pahang Jumaat lalu dalam saingan suku akhir kedua Piala FA .

"Kekalahan kepada Pahang tempoh hari sudah pasti sukar diterima bukan saja pemain, malah semua peminat, oleh itu saya gesa pemain perlu bangkit mencatat kemenangan dengan melupakan kekalahan itu.

"Selain itu, kami harap semua pemain mampu mengekalkan prestasi terbaik biarpun beraksi pada Ramadan yang sudah tentu menyebabkan pemain cepat lesu dan kurang bertenaga," katanya.

Pada aksi pusingan pertama di laman lawan, skuad Penyu berjaya menundukkan PJ City  2-1 dan pada perlawanan malam esok, pemain harus mencatat kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam liga selepas menghuni tangga ketujuh dengan mengutip 16 mata hasil 12 perlawanan.

Mengulas lanjut, Mohamad sedikit risau dengan kecederaan dialami dua pemain utamanya, Malik Mat Ariff dan Mohd Khairul Izuan Rosli.

"Kita tidak boleh cicir mata lagi kerana saingan liga makin mencabar apatah lagi kita sudah ketinggalan 14 mata dengan pendahulu," kata Mohamad. - Berita Harian