TM Malaysia Catat Hampir 100 Peratus Keuntungan


Telekom Malaysia Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATAMI) RM308.3 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2019, melonjak 96.2 peratus berbanding RM157.1 juta pada suku pertama 2018.

Perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) kumpulan pada suku dikaji meningkat kepada RM504.8 juta, daripada RM195.6 juta pada suku pertama 2018 disebabkan khususnya oleh pengurangan kos-kos operasi.

Tidak termasuk perkara-perkara bukan operasi, seperti kerugian belum nyata atas tukaran wang asing bagi penyelesaian urus niaga antarabangsa, EBIT dinormalisasi kumpulan juga meningkat kepada RM513 juta daripada RM206.6 juta tahun lalu.

Bagaimanapun, pendapatan diraih TM dalam suku berkenaan adalah 2.4 peratus lebih rendah pada RM2.78 bilion, disebabkan penurunan hasil perkhidmatan suara, Internet dan multimedia serta perkhidmatan-perkhidmatan tidak berkaitan telekomunikasi.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Operasi TM, Imri Mokhtar, berkata seperti dijangka, cabaran-cabaran hasil terus wujud pada suku pertama tahun ini, dengan persaingan yang kian sengit dan kesan terhadap harga.

Bagaimanapun, katanya Program Peningkatan Prestasi 2019-2021 (PIP2019-2021) TM mula menampakkan hasil, dengan kumpulan mencatatkan kecekapan operasi yang lebih baik dan kadar keberuntungan yang lebih tinggi.

Sumber: Berita Harian

Sumber: Oh! Media