Penyerang Terengganu FC (TFC), Abdul Malik Mat Ariff, menyifatkan kemenangan 3-1 ke atas Kuala Lumpur, kelmarin akan lebih bermakna sekiranya Irfan Bakti Abu Salim masih bersama pasukan itu.
Mengakui terhutang budi terhadap bekas jurulatih TFC itu, pemain itu berkata Irfan memainkan peranan besar dalam kariernya sejak berhijrah ke Kuala Terengganu pada 2017.
Namun, hasrat untuk terus menimba ilmu dengan pengendali berpengalaman itu tidak kesampaian selepas beliau meletak jawatan bulan lalu ekoran masalah prestasi TFC.
"Bagi saya, kemenangan malam ini (kelmarin) lebih bermakna kalau jurulatih (Irfan) masih membimbing pasukan ini.
"Dia banyak berjasa dan bersungguh-sungguh membawa saya ke pasukan TFC sehingga saya berasa terhutang budi kepadanya," kata bekas tonggak Kuantan FA itu.
Abdul Malik kembali dalam senarai penjaring TFC selepas menghasilkan gol keduanya dalam saingan Liga Super ketika menewaskan Kuala Lumpur.
Namun, pemain yang turut beraksi di posisi sayap itu menjelaskan faktor kecederaan menjadi punca kegagalannya mendapatkan rentak.
"Ketika beraksi baik dalam dua ke tiga perlawanan, saya mengalami kecederaan dan terpaksa berehat.
"Saya belum berpuas hati dengan persembahan semasa, namun akan berusaha lebih keras untuk kembali beraksi di tahap terbaik," tambahnya. - Arena