Hati masih bersama TFC, sanggup bermain tanpa bayaran


KUALA TERENGGANU: "Hati saya masih dengan pasukan Terengganu FC (TFC). Jika pasukan itu masih lagi mahukan khidmat saya, saya sedia beraksi bersama skuad itu," kata bekas pertahanan import skuad Penyu kelahiran Montenegro, Igor Zonjic.

Zonjic berkata demikian ketika ditanya mengenai kesediaannya kembali menyarung jersi skuad Penyu jika mendapat tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Perkara itu timbul selepas impian PBSNT untuk menggunakan khidmat pemain import baharu dari Brazil, Luis Gustavo Camilo berkecai selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menolak permohonan badan induk bola sepak negeri itu mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC).

"Saya selalu mengikuti berita dan perkembangan pasukan Terengganu, sudah tentu saya ingin kembali dengan pasukan, bagi saya ia adalah kesilapan yang mereka (PBSNT) lakukan kerana gugurkan saya.

"Bagaimanapun, saya masih ingin kembali bermain untuk TFC kerana saya tidak dapat lupa segala jasa diberikan kepada saya termasuk persatuan, pasukan, penyokong, negeri dan negara Malaysia.

"Jika persatuan menghubungi saya, saya akan datang segera dan bermain untuk saingan Piala Malaysia tanpa perlu dibayar sebaliknya bagi peluang untuk buktikan saya tidak bersalah pada TFC.

"Bagaimanapun sehingga kini tiada siapa menghubungi saya lagi, namun saya tetap menanti berita gembira daripada persatuan biarpun kini sudah berada di negara saya," ujar Zonjic melalui aplikasi WhatsApp.

Bekas pemain kelab River Plate dalam Liga Argentina berusia 28 tahun itu digugurkan pada akhir Mei lalu susulan aksi tidak konsisten musim ini biarpun berjaya membantu skuad itu muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu. - Berita Harian