Ibu tinggalkan anak 3 jam dalam kereta untuk pergi ke konsert

SEORANG kanak-kanak lelaki berjaya diselamatkan pihak berkuasa selepas ditinggalkan seorang diri di dalam kereta, sementaranya ibunya pergi menghadiri konsert, Jumaat lalu, lapor Daily Mail.

Kanak-kanak berusia dalam lingkungan dua tahun itu pada mulanya disedari sedang menangis oleh orang awam yang kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

Ibunya gagal dikesan dan pihak polis terpaksa meminta bantuan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun memanjat masuk ke dalam kereta melalui ‘sunroof’ yang dibiarkan terbuka, untuk menyelamatkan bayi berkenaan.

Selepas pintu dibuka, polis mendapati baju mangsa basah disebabkan peluh akibat kepanasan dan mungkin mengalami dehidrasi.

“Cuaca memang panas. Mangsa menangis kuat dan bibirnya kebiruan,” kata anggota polis.

Mereka segera memberi mangsa minum dan menenangkannya dengan beberapa barang mainan.

Polis cuba menghubungi ibu kanak-kanak itu tetapi tidak dijawab. Orang ramai kemudian menyebarkan gambar kanak-kanak itu di media sosial dengan harapan dapat mengesan ibunya.

Selepas satu jam kemudian, si ibu akhirnya muncul di tempat letak kereta itu untuk mendapatkan anaknya pada jam 9.30 malam.

Menurut wanita itu, dia pergi menghadiri konsert di stadium dan terpaksa meninggalkan anaknya dalam kereta kerana program itu tidak membenarkan kanak-kanak dibawa masuk.

Polis percaya wanita itu pergi menghadiri konsert pada jam 7 malam, meninggalkan anaknya dalam kereta kira-kira tiga jam.

Polis kemudian memberi amaran kepada wanita itu agar tidak meninggalkan anaknya dalam kereta terutamanya pada musim cuaca panas.



Sumber: kulihatlangitbiru.com