“Jangan Boikot Durian Timbang” - Ketua Pengarah FAMA



Peminat durian diminta usah memboikot peniaga yang menjual durian mengikut kaedah timbang kerana strategi sistem pemasaran telah berubah, kata Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Datuk Ahmad Ishak.

Sistem pemasaran ‘timbang kilo’ buah durian telah diterima pakai dan menjadikan harga pasaran durian terutamanya dari ladang dilihat lebih kompetitif berbanding sebelumnya, katanya.

“Dulu harga jualan durian kampung di ladang sangat rendah dan dijual secara membilang (pukal) kepada peraih. Tapi sekarang peladang memasarkan durian kepada penjual melalui timbangan dan bayaran pada harga kilo.

“Jadi ini telah memudahkan sistem perkiraan serta adil. Sebab itulah juga peniaga menjual durian dengan harga timbang dan jarang lagi menjual kaedah longgok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kempen media sosial yang mengajak orang ramai memboikot durian timbang sebagai tanda protes kerana harga durian boleh mencecah sehingga RM100 sebiji jika dijual mengikut cara itu.

Ada pengguna laman sosial mendakwa kulit buah itu sahaja sudah mencecah beberapa kilogram (kg) dan ini yang menjadi punca orang ramai memboikot durian timbang.

Menurut Ahmad, kaedah jualan longgok dilihat tidaklah begitu adil buat pembeli kerana jika tidak bertuah, pembeli berkemungkinan mendapat buah yang rosak dan eloklah membeli durian timbang dengan meminta peniaga membelahnya supaya dapat melihat isinya dahulu.

Malah jelasnya soal harga durian semasa bergantung kepada permintaan dan penawaran serta peminat raja buah itu dinasihatkan membuat pilihan bijak dengan membeli durian ketika musim buah.

Sumber: Bernama

Sumber: Oh! Media