Lee Chong Wei umum bersara

TEKA-TEKI berhubung spekulasi mengenai persaraan Datuk Lee Chong Wei akhirnya terjawab apabila jaguh badminton negara itu mengumumkan persaraannya, sebentar tadi.

Chong Wei, 37, mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media khas di Menara KBS, Putrajaya pada pukul 12.30 tengah hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Jumaat lepas, media melaporkan Chong Wei yang juga bekas pemain nombor satu dunia dijangka membuat pengumuman berhubung masa depan kerjayanya, hari ini.

Bagaimanapun, pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu menegaskan pengumuman hanya akan dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan BAM dan barisan jurulatih.

Beliau sudah sebulan tidak menjalani latihan sejak mengambil cuti pada penghujung April lepas bagi menjalani pemeriksaan susulan di Taiwan.

Ia bagi mencegah kanser hidung yang dihidapinya menyerang kembali selepas mendapat nasihat doktor.

Antara pencapaian besar Chong Wei yang terus diingati adalah pingat perak temasya Olimpik bermula di Beijing 2008, diikuti London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Beliau juga tiga kali muncul naib juara dunia bermula edisi 2011 di London, 2013 di Guangzhou dan 2015 di Jakarta.



Sumber: kulihatlangitbiru.com