Agong mahu kerajaan PH lebih tangkas tangani masalah rakyat

KUALA LUMPUR — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memohon kerajaan supaya bertindak lebih proaktif bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Baginda berkata perkara itu bagi memastikan setiap masyarakat dapat hidup “dalam keadaan aman, stabil serta harmoni”, lapor Sinar Harian.

“Saya juga berharap kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri dapat memperkukuhkan keadaan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan bertindak lebih proaktif dalam soal membantu rakyat yang memerlukan bantuan dan pertolongan segera,” katanya.

“Inilah harapan jangka pendek saya. Saya sangat realistik.”

Baginda pada Selasa ini akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Pada 15 Januari lalu, Al-Sultan Abdullah dimasyhurkan menjadi Sultan Pahang keenam hasil keputusan sebulat suara mesyuarat Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang.



Sumber: myterengganu.com