Anak maut kemalangan akibat kesilapan bapa langgar lampu isyarat

PUTRAJAYA – Kemalangan dua buah kereta sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut di Jambatan Sri Ehsan di sini kelmarin berpunca daripada kesilapan bapanya yang melanggar lampu isyarat merah.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan menjelaskan, punca kemalangan itu diperoleh daripada hasil siasatan polis terhadap pemandu kereta itu yang berusia 43 tahun dan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) lokasi kejadian.

“Punca kemalangan pemandu kereta jenis Perodua Alza melanggar lampu merah. Dia telah pun ditahan namun diberi jaminan polis selepas siasatan selesai.

“Pemeriksaan saringan ujian air kencing terhadap lelaki itu mendapati dia negatif sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Utusan Online semalam melaporkan seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut selepas kereta dinaiki bersama ahli keluarganya terlibat dalam kemalangan di simpang empat lampu isyarat Jambatan Sri Ehsan di sini kelmarin.

Kemalangan pada pukul 1.30 petang itu mengorbankan Nur Umairah Syakirah Rosdi selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya kira-kira pukul 9.50 malam kejadian.

Siasatan mendapati, nahas tersebut berlaku sewaktu mangsa bersama ibu bapa, abang, kakak serta adiknya masing-masing berusia 8, 6 dan tiga tahun menaiki kereta Perodua Alza dari arah Persiaran Perdana menuju ke Persiaran Timur.

Sewaktu kejadian, sebuah kereta jenis Audi A5 yang datang dari arah Jalan Tun Hussein menuju ke Lingkaran Gemilang telah berlanggar dengan kereta yang dinaiki mangsa.

Adik bongsu dan bapa kanak-kanak yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kementerian itu mengalami kecederaan ringan.

Selain itu, ibu mangsa yang bekerja sebagai guru di sebuah tadika patah kaki kiri dan tulang pinggulnya retak.

Kakak mangsa yang berusia lapan tahun kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam keadaan koma selepas mengalami kecederaan di kepala dan tidak sedarkan diri manakala abangnya cedera di kepala serta patah kaki kiri. – UTUSAN ONLINE



Sumber: myterengganu.com