'Berdebar rasa jantung, dahlah kawasan tu sunyi' - Ternampak budak kecil tidur dalam stroller, keluarganya entah ke mana


Kisah ini dikongsikan oleh wanita ini bertujuan untuk memberikan peringatan kepada ibu bapa mengenai keprihatinan ibu bapa terhadap anak-anak terutamanya anak kecil seperti bayi.

Di dalam kita sibuk untuk menguruskan kehidupan seharian, jangan sesekali mengabaikan si anak. Tanggungjawab tidak harus dilepaskan kepada seorang sahaja, tetapi kedua ibu bapa perlu memikul bersama-sama.

Kejadian yang berlaku di sebuah pasaraya mengejutkan wanita ini. Seorang kanak-kanak kecil ditinggalkan seorang diri di dalam stroller tanpa pengawasan sesiapa. Risau dengan keadaan kanak-kanak tersebut, wanita ini memaklumkan kepada staff di pasaraya untuk tindakan selanjutnya.

BELI barang dekat Mydin Meru Ipoh tadi dengan abang long Irfan. Naik ke tingkat dua, sesaja lalu kat bahagian bekas plastik. Tiba-tiba ternampak ada seorang budak kecil dalam stroller tengah tidur. Kami pusing juga dua tiga kali nak cari mana family budak ni sebab kawasan tu dah sunyi Mydin nak tutup lagi 20 minit macam tu.

Dalam 10 minit lebih kurang, masih tak ada siapa yang ambil. Waktu ini rasa berdebar jantung ni, risau mana tahu orang lain bawa lari pula nanti. Kami pun tunggu juga lagi sebab kat situ ada sekali beg tangan sangkut kat stroller tu. Irfan dah start bergenang air mata sambil tu dia cakap kat ibu,

"Ibu, ibu, mak dia tak sayang dia ke?? Sebab apa dia tinggal sorang-sorang?" 

Lepas tu, terus maklumkan pada staff yang duduk jauh dari kawasan tu datang tengok dan minta buat pengumuman. Bukanlah apa kan, lama juga tinggal tu, risau dibuatnya. Dua orang staff pun tolak stroller tu untuk bawa ke bahagian yang sepatutnya.



Sebelum itu, akak seorang ni lalu situ, dia tanya, "Agak-agak orang ni tinggal terus ke apa ni eh? Kalau tinggal je saya nak ambillah sebab saya dah lama tak ada anak." Sedih je dengarnya.

Staff tak sempat nak hantar pergi ke kaunter, dalam 5 minit lepas tu, ada sorang budak perempuan datang, belasan tahun gitu la, mungkin kakak dia kot, terus capai stroller, bawa jalan terus je. Tanpa ucapan apa-apa pun. Terima kasih ke mintak maaf pun takde. 

Kami pun ikut belakang sambil terdengar dia cakap dengan sorang lagi ni, ibu diorang agaknya.

"Ingatkan baby kat ayah ke papa" 

Haa camtulah lebih kurang bunyi dia. Muka ibu dia pun tak ada nampak risau atau gelabah. Allahu, tak tahu nak kata macam mana.

Maksudnya situasi ni mungkin diorang ingat ayahnya yang pegang bawak stroller tu, tapi sebenarnya tertinggal. Mungkin juga harapkan kakak tu yang tolak adik kan. Segalanya mungkin. Aduhai, jantung rasa debar-debar sangat tau sebab tak pernah jumpa lagi kejadian macam ni.

Ibu ayah, peringatan untuk diri sendiri dan untuk kita semua, tak boleh leka walau sesaat waktu membeli atau memilih barang sampai kita terlupa akan amanah penting macam ni.

Begitulah,

Nurul Isnani Jamaee
Ibu yang ada 3 orang hero.



Sumber : thereporter.my