Budak Meninggal Dunia Setelah Bergurau Dengan Bapa Saudara


Gurauan bertukar tragedi apabila eorang kanak-kanak bermain tumbuk-tumbuk dengan bapa saudaranya meninggal dunia akibat mengalami kecederaan dalaman di rumahnya di Kampung Bandar Siong, Baling Kedah.

Muhammad Azfar Qayyum Md Said, yang berusia enam tahun, disahkan meninggal dunia ketika diperiksa pasukan perubatan Hospital Baling pada jam 2.15 petang kelmarin.

Kanak-kanak malang itu ditemui mati dengan beberapa kesan lebam pada bahagian kepala dan badannya. Polis menerima maklumat daripada pihak hospital yang memaklumkan seorang kanak-kanak meninggal dunia ketika pemeriksaan di hospital.

Pemangku Ketua Polis Baling, Superintendan Abd Fatah Abd Rahman ketika mengesahkan kejadian itu memberitahu, berdasarkan keterangan keluarga, mangsa ditemui dalam keadaan tidak bergerak di dalam bilik rumahnya pada jam 1 tengah hari.

“Keluarga mangsa kemudian membawanya ke Hospital Baling, namun pemeriksaan doktor mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira empat jam sebelum itu,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Menurut Abd Fatah, hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa menemui beberapa kesan lebam pada bahagian kepala dan badannya.

“Berdasarkan keterangan keluarga, mangsa ada bermain bersama dengan bapa saudaranya berusia 16 tahun yang juga pesakit sindrom down pada malam semalam.

“Mereka dikatakan bermain tumbuk-tumbuk, namun berhenti selepas ditegur ahli keluarga. Mangsa dipercayai mengalami kecederaan dalaman akibat kejadian itu,” katanya.

Berikutan itu, polis menahan bapa saudara mangsa petang tadi bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah ((HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

Sumber: New Malaysian Post

Sumber: Oh! Media