Eksport kayu dijangka lebih tinggi tahun ini – Teresa

KUALA LUMPUR – Eksport kayu negara dijangka lebih tinggi tahun ini berbanding RM22.3 bilion yang dicatatkan tahun lalu.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata setakat Mei tahun ini, eksport kayu sudah mencecah RM9.1 bilion dengan peningkatan eksport dicatatkan dalam produk seperti perabot, kayu kumai dan bingkai kayu.

Beliau berkata, produk perabot menyumbang 36 peratus kepada jumlah eksport kayu dalam tempoh lima bulan tahun ini, dengan mencatatkan peningkatan 12.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Secara keseluruhan, (setakat Mei 2019) eksport kayu meningkat 2.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Justeru, saya berharap menjelang akhir tahun ini, eksport kayu mengatasi jumlah tahun lalu,” katanya pada pembukaan Persidangan Kayu Malaysia 2019 di sini, hari ini.

Pasaran utama bagi produk kayu Malaysia ialah Jepun, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU), India, Korea dan Taiwan.

Persidangan Kayu Malaysia 2019 dengan tema “Masa Depan adalah Sekarang” dianjurkan oleh Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC).

Kok juga menggesa pengeluar berasaskan kayu di negara ini untuk terus mengeluarkan produk yang berkualiti dan tersendiri bagi memenuhi jangkaan dan kehendak pelanggan yang pelbagai.

Beliau berkata, peserta industri juga perlu memahami kepentingan melabur dalam teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan kekal kompetitif dalam pasaran global.

Menyentuh mengenai usaha pemuliharaan hidupan liar, Kok gembira dengan langkah MTC memperuntukkan RM1.5 juta untuk kajian gajah pygmy dan pemuliharaan di Sabah yang akan dilaksanakan secara bersama Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Beliau berkata, inisiatif itu menunjukkan komitmen dan sokongan serius negara bukan saja memastikan kelestarian hutan tetapi juga melindungi habitat hidupan liar dalam hutan.



Sumber: myterengganu.com