Isteri pertama hingga keempat dapat insentif kelahiran anak – Exco Terengganu

KERAJAAN Terengganu menggalakkan rakyatnya meramaikan bilangan anak dengan menentukan bagi setiap kelahiran mendapat insentif bermula dari RM100.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, anak kelahiran pertama di Terengganu mendapat RM100, kedua (RM200), ketiga (RM300), keempat (RM400), dan kelima (RM500).

“Manakala anak keenam dan seterusnya dikira RM500 setiap kelahiran,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra PERANTAU Johor 2.0 Bersama Exco Kerajaan Negeri Terengganu di Skudai, malam semalam.

Turut hadir Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said dan kepimpinan Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU) Negeri Johor.

Ustaz Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, insentif itu juga diberikan kepada rakyat Terengganu yang berpoligami.

Katanya, setiap kelahiran anak dari isteri berkenaan dikira dari anak pertama dengan insentif yang sama.

Menceritakan lebih lanjut beliau berkata pada peringkat awalnya kerajaan meluluskan insentif itu hanya untuk kelahiran dari isteri pertama sahaja.

“Bagaimanapun oleh kerana isteri kedua sampai keempat juga dikira anak Terengganu maka mereka berhak mendapat insentif kelahiran anak sama dengan isteri pertama,” ujarnya.

Katanya, ini semua tanggungjawab sosial kerajaan kepada rakyat Terengganu bergantung kepada sumber pendapatan yang diperolehinya.



Sumber: myterengganu.com