KPI Terengganu FC II Tercapai


KUALA TERENGGANU: "KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kami tercapai," kata ketua jurulatih Terengganu FC II (TFC II), Tengku Hazman Raja Hassan selepas pasukannya menamatkan saingan Liga Perdana musim ini di tangga kelima.

Pada aksi terakhir liga di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi, skuad The Turtles itu berjaya mengutip mata ke-30 selepas mencalar reputasi juara Liga Perdana musim ini, Sabah dengan keputusan 2-1.

Bekas kapten skuad kebangsaan itu menyatakan biarpun skuadnya tidak berpeluang beraksi di Liga Super atau kancah Piala Malaysia kerana berstatus 'feeder club' kepada skuad Terengganu FC (TFC), namun kejayaan itu adalah boleh dibanggakan selepas skuadnya berkedudukan tercorot musim lalu.

Beliau menyifatkan kejayaan itu adalah hasil kerja keras semua pihak, namun skuadnya masih mempunyai tugasan lebih mencabar iaitu mengekalkan kejuaraan Piala Cabaran dimenangi pada edisi sulung musim lalu.

"Fokus kami pada masa ini ialah untuk mempertahankan Piala Cabaran dimenangi musim lalu. Bagaimanapun kami akui bakal menghadapi sedikit kesukaran kerana pemain yang ada terdiri daripada barisan kedua.

"Tetapi itu bukan alasan sebaliknya saya sudah mengenal pasti dua, tiga pemain daripada pasukan Piala Presiden Terengganu yang berpotensi dan mungkin akan diserapkan untuk memperkuatkan pasukan," katanya. - Berita Harian