Najib pertikai kenapa akaun milik UMNO masih dibekukan

PULAU PINANG – Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertikaikan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang masih membekukan akaun dan harta milik parti itu walaupun sehingga kini tiada bukti bahawa UMNO menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib berkata, kerajaan PH sepatutnya memulangkan kembali akaun dan harta milik UMNO selepas gagal membuktikan sebarang kaitan antara parti itu dan 1MDB.

“UMNO buat keputusan untuk buat kutipan dana, sebab masih lagi dibeku akaun dan harta UMNO.

“Sepatutnya selepas setahun tidak ada apa-apa kes mereka kena pulangkan balik (akaun dan harta milik UMNO),”katanya selepas merasmikan Mesyuarat Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bukit Gelugor di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir, Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Norliza Abd. Rahim serta Timbalan Ketua Muslimat Pas, Maziah Kamis.

Sebelum ini, pada 29 Jun 2018, Pasukan Petugas Khas 1MDB memaklumkan bahawa sejumlah akaun milik individu dan beberapa organisasi termasuk UMNO serta parti-parti politik yang dipercayai terlibat dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah dibekukan.

Pasukan Petugas Khas 1MDB itu menyatakan bahawa akaun milik persatuan dan syarikat yang terlibat dalam siasatan kes berkenaan juga dibekukan.

Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) berkata, antara sebab utama mengapa kerajaan PH enggan memulangkan kembali akaun UMNO ialah kerana pemimpin mereka tidak mahu melihat UMNO kembali bergerak dengan bebas.

“Ini satu tindakan kejam, di mana-mana negara pun, pembangkang dibenarkan untuk menggerakkan aktiviti mereka.

“Dalam semua parti politik, dana politik adalah perkara biasa kenapa pula dalam kes UMNO nak disekat, nak dilucut hak harta dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Sumber: myterengganu.com