Pulau Pinang mohon dana RM20 bilion bina LRT, Lebuhraya PIL

GEORGETOWN – Pulau Pinang sedia mempertimbangkan semula saiz projek tambakan laut di perairan selatan (PSR) negeri ini jika mendapat dana daripada Kerajaan Pusat untuk membiayai pembinaan projek transit aliran ringan (LRT) dan Lebuhraya Pan Island Link (PIL) yang bernilai RM20 bilion.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata mesyuarat EXCO minggu lalu memutuskan untuk kerajaan negeri menghantar surat permohonan mendapatkan dana daripada Kerajaan Pusat bagi membiayai projek berkenaan.

“Sekiranya ia diperoleh, maka pertimbangan mengenai projek PSR akan dinilai semula dengan skalanya mungkin berbeza,” katanya di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan taklimat tertutup bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut disertai semua barisan EXCO dan pemaju projek, SRS Konsortium.

Taklimat selama sejam itu turut membincangkan masa depan dan hala tuju komuniti nelayan di selatan Pulau Pinang, yang dijangka terjejas akibat projek PSR berkenaan.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau berbesar hati dengan pendirian kerajaan negeri untuk menilai semula skala dan saiz projek PSR, sekiranya berjaya memperoleh dana daripada sumber lain.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan menyokong usaha kerajaan negeri untuk mendapatkan dana daripada Kerajaan Pusat bagi membiayai sebahagian projek di bawah PIP berkenaan.

“Saya tidak menyokong sesiapa, saya perlu mendengar daripada semua pihak, dan saya lihat kerajaan negeri bersikap terbuka mengenai perkara ini.

“Malah, kerajaan negeri juga bersedia untuk kaji semula saiz tambakan PSR sekiranya dapat dana daripada Pusat. Saya secara peribadi kagum dengan keterbukaan kerajaan negeri,” katanya.

Pada 13 Julai lalu, Anwar hadir bertemu komuniti nelayan di Unit Nelayan Sungai Batu di sini, untuk mendengar keluhan nelayan dan penduduk setempat yang akan terjejas akibat projek PSR.

Ia susulan bantahan aman yang diadakan lebih 100 nelayan di Parlimen beberapa hari sebelum itu, yang menolak projek tambakan laut untuk membina tiga pulau buatan.

Pelaksanaan PSR adalah membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar, yang dijangka mampu menyaingi Marina Bay di Singapura.

Ia dibina bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam PIP, antaranya pembinaan LRT, monorel, teksi air, kereta kabel, terowong dasar laut dan beberapa lebuh raya.



Sumber: myterengganu.com