Tak Tolak Jodoh Dengan Joy Revfa


Pelakon Fahmy Reza, mengakui sedang mengenali hati budi usahawan kosmetik, Joy Revfa, malah tidak menolak sekiranya mereka ditakdirkan bertemu jodoh. Jejaka berusia 28 tahun itu berkata, mereka sudah lama berkenalan kerana sama-sama berasal dari Kuantan, Pahang, namun meletakkan hubungannya dengan Joy hanya sebagai kawan.

"Benar, kami sedang mengenali hati budi masing-masing, namun jika ditakdirkan bertemu jodoh pada masa hadapan, saya tidak menolak. Buat masa ini, kami masih berkawan. Biarpun sudah lama kenal antara satu sama lain, perasaan untuk mengenali lebih jauh hanya berputik, baru-baru ini.

"Jika diikutkan, saya belum bersedia memberikan sebarang komen mengenai hubungan kami. Saya juga tidak pernah memuat naik gambar kami berdua kerana menganggap, masih terlalu awal berbuat demikian. Jika ada berita baik nanti, pasti akan dikongsikan kepada umum," katanya.

Pelakon yang dikenali menerusi drama seperti Biar Aku Jadi Penunggu, Pembancuh Kopi Mr Vampire dan Dia Semanis Honey itu berkata, dia sedapat mungkin enggan dirinya terjerat dengan kontroversi.

"Saya mahu dikenali kerana bakat, jadi saya bimbang dianggap cuba menumpang populariti Joy apabila memuat naik gambar kami berdua. Saya juga bukan suami orang atau duda, malah belum pernah mendirikan rumah tangga," kata Fahmy.

Fahmy dikaitkan dengan Joy atau Siti Arifah Mohd Amin apabila usahawan kosmetik itu sering memuat naik foto bersama seorang jejaka misteri yang dikaburkan wajahnya. Joy pernah dua kali mendirikan rumah tangga, termasuk dengan komposer dan penyanyi Hafiz Hamidun, namun bercerai pada 25 Oktober 2017.

+ Baca respon pembaca di Oh! Media.




Sumber: Oh! Media