Terengganu bina 160 unit rumah pangsa mampu milik di Tok Jembal

KUALA NERUS – Sebanyak 160 unit Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) akan dibina di Tok Jembal di sini khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40).

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek itu adalah yang kedua dilancarkan kerajaan negeri selepas pelaksanaan 250 unit rumah mampu milik (RMM) Tajin di Kuala Berang, Hulu Terengganu, pada 9 Julai lalu.

Menurutnya, ketika ini wakil-wakil rakyat sedang berusaha mencari lokasi yang sesuai untuk pembinaan lebih banyak rumah bagi memenuhi permintaan.

“Namun, bagi daerah yang mempunyai kepadatan (penduduk) tinggi seperti Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, pembinaan rumah pangsa adalah yang terbaik memandangkan tiada keluasan tanah yang sesuai untuk pembinaan rumah teres seperti di Tajin tempoh hari,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah RPMM Tok Jembal hari ini.

RPMM Tok Jembal dibina di atas tanah kerajaan seluas 1.7 hektar dengan setiap unit berkeluasan kira-kira 74 meter persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Antara kemudahan asas yang akan dibina di RPMM Tok Jembal ialah dewan serbaguna, surau, tadika, gerai, taman permainan dan kawasan rekreasi.

Projek itu dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2021 dengan pemantauan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu (Bahagian Perumahan).

Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri menyasarkan pembinaan 20,000 unit RMM dalam tempoh empat tahun.

Selain pembinaan RMM, kerajaan Terengganu turut menyediakan bantuan bina rumah baharu dan baik pulih rumah kepada rakyat miskin melalui Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS) dengan peruntukan sebanyak RM30 juta pada tahun ini.

— BERNAMA



Sumber: myterengganu.com