Tujuh perkara perlu jadi perhatian Terengganu FC


Tangga ketujuh Liga Super menjadi petunjuk kualiti Terengganu FC (TFC) walaupun saban tahun diramal mampu bersaing dengan pasukan seperti Pahang, Kedah dan Selangor.

Berdasarkan kedudukan mereka dalam liga, berikut tujuh perkara yang wajar menjadi perhatian TFC jika mahu lebih serius dalam saingan akan datang.

1. Pengarah Teknikal

Jawatan ini pernah diisi Mike Mulvey (2016) sebelum jurulatih kelahiran Manchester itu mengambil alih tugas sebagai jurulatih selepas hanya dua perlawanan.

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) perlu menilai calon sesuai, menentukan skop kerja dan memastikan lantikan dibuat akan meningkatkan pasukan dan bukan sebaliknya.

2. Barisan kejurulatihan

Selain memilih Pengarah Teknikal, PBSNT juga perlu segera menentukan nasib Mohd Nafuzi Zain selaku pengendali sementara.

Ada peningkatan dalam aksi TFC dengan formasi 4-3-3 yang menjadi pilihan Nafuzi, yang mula menampakkan corak lebih tersusun.

Tanpa skuad terbaik, Nafuzi mencatat tiga kemenangan, lima kali seri termasuk dengan Kedah, Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) serta satu kekalahan kepada Perak ketika bermain dengan 10 orang.

Khabarnya, banyak permohonan dari dalam dan luar negara untuk jawatan ketua jurulatih TFC. Mungkin Piala Malaysia menjadi medan terbaik Nafuzi membuktikan sesuatu.

3. Sanjar Shaakhmedov dan Lee Tuck

Impak pemain Uzbekistan, Shaakhmedov, tidak boleh disangkal dek kerana status selaku penjaring terbanyak dengan 10 gol dalam saingan liga dan Piala FA.

Dengan kontrak Shaakhmedov dan Lee Tuck masih berbaki semusim lagi, sebuah pasukan mantap perlu dibentuk dan diketuai dua watak penting ini.

4. Kipre Tchetche

Walau apapun tanggapan kepadanya, Tchetche -- berusia 32 tahun, Disember ini -- masih penyerang import terbaik yang pernah menyarung jersi negeri ini.

Sekiranya Piala Malaysia menjadi kejohanan terakhirnya bersama TFC, ia satu tugas berat mencari penggantinya yang mampu menjaringkan 44 gol dalam 68 penampilan.

Teringat pula kepada Juan Jose Morales.

5. Pemain ASEAN

Thierry Chantha Bin hanya bernasib baik tidak digantikan kerana kerja minit-minit akhir PBSNT dalam jendela perpindahan kedua yang lalu.

TFC perlu mendapatkan pemain kuota ASEAN yang tepat di posisi yang tepat pada harga yang tepat.

Kalau kualiti lebih kurang dengan tahap Liga Perdana, lupakan.

6. Krisis pertahanan

Mohd Kamal Azizi pernah dicanang untuk bersaing dengan Matthew Davies dan dipanggil dalam skuad negara.

Namun, prestasinya menurun musim ini sehingga kehilangan tempat kepada Mohd Hafizal Alias sejak Nafuzi mengambil alih.

Melepaskan Igor Zonjic pula menjadi kesilapan ketika PBSNT gagal mendapatkan pengganti yang diidamkan.

Khidmat Adib Aizuddin Ab Latif yang akan berusia 34 tahun, Januari depan, mungkin perlu dilupakan TFC yang wajar melihat prestasi bek kiri Felda United, Arif Fadzillah Abu Bakar.

7. Kembali menjadikan Kuala Terengganu sebagai kubu

Rekod di tempat sendiri menyaksikan TFC tewas kepada PKNP FC (yang tersingkir ke Liga Perdana) dan PJ City FC (selepas mendahului 3-0).

Mereka juga seri lima kali (PKNS FC, JDT, Perak, Kedah, Pahang) di mana kelima-lima aksi itu TFC bermain cukup baik.

Sementara itu, 23 daripada 45 gol dihasilkan pada atau selepas minit ke-70, dengan kadar peratusan 51 peratus menunjukkan TFC gagal 'membunuh' pasukan lawan lebih awal.

Di mana kedudukan TFC jika mereka lebih 'bekeng' di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah?

Kesimpulannya, TFC tidak boleh berpuas hati dengan prestasi musim ini yang lebih buruk jika dibandingkan dengan di tangga kelima musim lalu.

Liga Super dan Piala FA perlu menjadi sasaran utama kerana itu tiket ke saingan peringkat Asia.

Tapi PBSNT sudah bersedia ke? - Astro Arena