Berusaha Menjauhi Sifat Meminta-Minta


Sesungguhnya Islam menggalakkan umatnya bekerja dan berusaha sebaliknya melarang umatnya bersikap malas dan hanya meminta-minta. Larangan ini banyak disebutkan di dalam Al-Quran dan hadis yang menegah kita menjatuhkan maruah diri dengan bersikap malas dan hanya mengharapkan simpati serta ihsan orang lain sahaja. Nabi SAW mengingatkan perkara ini dengan sabdanya yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hizam Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Tangan yang di atas (yang memberi) adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima). Dahulukanlah orang yang menjadi tanggunganmu. Dan sebaik-baik sedekah adalah yang lebih daripada keperluan tanggungannya. Barangsiapa menjaga kehormatan dirinya (dari meminta-minta) maka Allah akan menjaga kehormatan dirinya dan barangsiapa yang merasa cukup maka Allah akan memberikan kecukupan kepadanya.” (Riwayat al-Bukhari)

Bahkan, seseorang yang malas berusaha dan hidupnya hanya meminta-minta ihsan orang lain akan dibangkitkan di hari akhirat dalam keadaan tanpa daging pada wajahnya. Ini dtegaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu Anhuma bahawasanya Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Seseorang yang sentiasa meminta-minta kepada orang lain akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan tidak ada sekerat daging pun di wajahnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Sesungguhnya Islam menganjurkan kita untuk berusaha dan mencari nafkah dengan pelbagai cara selagi tidak melanggar syariat. Kita juga disuruh supaya bersikap ta’affuf (memelihara diri dari minta-minta), sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 273 yang bermaksud:

“Pemberian sedekah itu ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka orang kaya oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.”

Ayat ini diturunkan untuk menceritakan kepada kita tentang sikap mulia sebahagian daripada para sahabat Nabi SAW yang terdiri daripada orang-orang miskin, tetapi mereka tidak mengharapkan bantuan orang lain walaupun mereka sangat memerlukan. Sehingga orang yang tidak mengenali keadaan sebenar kehidupan sahabat Nabi SAW menyangka bahawa mereka adalah orang-orang kaya disebabkan mereka menjaga kehormatan diri mereka daripada meminta-minta kepada orang lain.

Sesungguhnya, Allah menjanjikan ganjaran pahala yang besar kepada hamba-hamba-Nya yang berusaha dan bekerja untuk memberi nafkah kepada keluarganya. Ini dinyatakan di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: “Dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu nafkahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu.” (Riwayat Muslim)

Bagi mereka yang suka meminta-minta sedangkan tubuh badan masih sihat wajiblah berusaha sedaya upaya untuk mencari pekerjaan. Gunakanlah segala kemahiran dan kekuatan yang dimiliki serta peluang yang ada demi memperoleh hasil pendapatan untuk menyara diri dan keluarga, Ingatlah! Allah tidak akan mengubah nasib hamba-Nya sehinggalah dia berusaha untuk mengubah nasib dirinya sendiri.

Sesungguhnya, hasil yang diperolehi melalui apa jua kemahiran yang ada itu lebih baik dan mulia daripada bersikap malas dan hanya meminta-minta kepada orang lain. Ini berdasarkan hadis daripada Zubair bin al-Awwam Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang dari kalangan kamu mengambil talinya lalu membawa seikat kayu bakar di atas belakangnya, kemudian dia menjualnya sehingga dengannya Allah menjaga wajahnya (kehormatannya), itu lebih baik baginya daripada dia meminta-minta kepada orang lain, sama ada mereka memberinya atau tidak memberinya.” (Riwayat al-Bukhari)

Manakala bagi mereka yang malas dan sengaja enggan bekerja, masyarakat sewajarnya memberikan nasihat dan bimbingan kepada mereka supaya jangan bersikap malas dan hanya mengharapkan simpati orang ramai semata-mata.

Sayyidina Umar bin Al-Khattab Radhiallahu Anhu pernah memberi nasihat dan menegur kepada segolongan rakyatnya yang salah faham terhadap konsep tawakkal dan berserah semata-mata tanpa usaha. Katanya: “Siapakah kamu semua ini?” Mereka menjawab: “Kami orang yang bertawakkal.” Sayyidina Umar menyatakan dengan tegas: “Kamu berbohong!” Orang yang bertawakal yang sebenar ialah orang yang menanam biji benih kemudian bertawakal kepada Allah. Janganlah kamu malas mencari rezeki dan hanya berdoa: “Ya Allah, berilah aku rezeki”, sedangkan dia tahu langit tidak akan menurunkan hujan dinar dan dirham.”

Oleh: Jabatan Agama Islam Selangor
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Sumber: Oh! Media